Bekas setiausaha akhbar Zahid dilantik ketua pengarang Utusan


Utusan yang kini bersaiz kompak memberhentikan kira-kira 800 pekerjanya yang menamatkan perkhidmatan secara sukarela berkuat kuasa 30 November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2018.

IBRAHIM Yahaya, bekas setiausaha akhbar kepada bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, dilantik sebagai ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu Berhad yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu diumumkan dalam satu kenyataan Kumpulan Utusan kepada Bursa Malaysia mengenai beberapa perubahan jawatan lembaga pengarah syarikat.

Ibrahim yang sebelum ini memegang jawatan pengarah bukan eksekutif hari ini dilantik sebagai pengarah eksekutif.

“Pelantikan Datuk Dr Ibrahim daripada pengarah bebas bukan eksekutif kepada pengarah eksekutif dibuat selaras dengan pelantikannya sebagai ketua pengarang kumpulan syarikat, berkuasa kuasa 13 Disember 2018,” kata kenyataan itu.

Serentak itu, Utusan turut mengumumkan Abd Aziz Sheikh Fadzir melepaskan jawatan sebagai pengerusi eksekutif Kumpulan Utusan Melayu Berhad, lebih kurang dua minggu selepas melaksanakan proses pengecilan operasi syarikat akhbar milik Umno itu.

Kenyataan itu hanya menyebut beliau letak jawatan atas alasan “komitmen perniagaan peribadi”.

Sumber bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, peletakan jawatan Aziz ada kaitan dengan pelantikan Ibrahim sebagai ketua pengarang kumpulan.

Ibrahim, 58, pernah memegang jawatan ketua pengarah penyiaran di Kementerian Komunikasi dan Multimedia antara 2009 hingga 2011. Kenyataan kepada Bursa Malaysia juga menyebut beliau pernah memegang jawatan sebagai penasihat media kepada menteri komunikasi dan multimedia pada 2011.

Wartawan kanan yang pernah berkhidmat lama di Berita Harian itu juga pernah memegang jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Bernama TV antara Ogos 2013 hingga Disember 2014.

Abdul Aziz Sheikh Fadzir hari ini melepaskan jawatan sebagai pengerusi eksekutif Kumpulan Utusan Melayu Berhad.– Gambar Youtube, 13 Disember, 2018

Aziz sebelum ini memangku tugas ketua pengarang kumpulan selepas dua editor kanan kumpulan itu berundur pada Julai lalu.

Sepanjang tempoh singkatnya di Utusan, Aziz bertanggungjawab mengubah wajah baru Utusan Malaysia daripada saiz lembar lebar kepada saiz kompak untuk menjimatkan kos bermula 16 September lalu.

Bekas ahli Parlimen Kulim Bandar Baru itu dilantik ke menerajui syarikat milik Umno itu pada 7 Jun lepas, lebih dua minggu selepas peletakan jawatan secara sukarela empat pengarahnya termasuk bekas pengerusinya, Mohamad Fatmi Che Salleh.

Empat lagi pengarah yang meletakkan jawatan ketika itu ialah Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, Jamalul Kiram Mohd Zakaria, Mohd Yusof Abu Othman serta Md Afendi Hamdan.

Utusan hari ini turut mengumumkan pelantikan bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor Irmohizam Ibrahim sebagai ahli lembaga pengarah bukan eksekutif, berkuat kuasa hari ini.

Utusan baru-baru ini memberhentikan kira-kira 800 pekerjanya yang menamatkan perkhidmatan secara sukarela (VSS), berkuat kuasa 30 November lalu. Langkah itu dilaporkan dapat mengurangkan kerugian yang ditanggung syarikat sehingga RM8 juta sebulan.

Langkah penstrukturan kewangan itu turut melibatkan penjualan beberapa bangunan milik syarikat termasuk sebidang tanah di Jalan Tiga off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur bernilai RM18 juta.

Utusan juga menutup kilang percetakannya di Gong Badak, Terengganu serta menutup operasi pejabat biro di seluruh negara berkuat kuasa 1 Disember lepas.

Syarikat yang dipegang sahamnya sebanyak 49.77% oleh Umno itu kini diletakkan di bawah status PN17 kerana masalah hutang terkumpulnya dengan dua buah bank berjumlah kira-kira RM1.2 juta. – 13 Disember, 20188.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Tambah lagi satu penelungkup.
    Selamat Tinggal Keluarga Utusan.

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Raja Shahrulzaman · Ulasan