Utusan Melayu kini berstatus PN17 selepas gagal bayar pinjaman


PENERBIT akhbar Utusan Melayu (M) Bhd kini berstatus PN17 selepas gagal membayar pinjaman bank dan berisiko dinyahsenarai dalam tempoh setahun jika gagal mengurus semula kewangannya, lapor The Edge Market.

Syarikat akhbar dan majalah berbahasa Melayu milik Umno yang menerbitkan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia itu, diklasifikasikan di bawah Nota Amalan 17 (PN17) selepas gagal membuat pembayaran prinsipal (modal) dan keuntungan berjumlah RM1.18 juta kepada Maybank Islamic Bhd dan Bank Muamalat Malaysia Bhd.

Ia gagal memberikan pengisytiharan kesolvenan (kemampuan bayar) kepada Bursa Malaysia.

Dalam pemfailan dengan bursa hari ini, ia berkata: “Syarikat itu sedang mengkaji untuk merumuskan pelan regularisasi bagi menangani status PN17 dan akan membuat pengumuman yang perlu mengenai pelan regularisasi pada masa akan datang.”

Utusan dikehendaki mengemukakan pelan regularisasi kepada Suruhanjaya Sekuriti atau Bursa Malaysia dalam masa 12 bulan dari hari ini. Kegagalan untuk mematuhi akan menyaksikan penggantungan penyenaraian sekuriti diikuti dengan penyahsenaraian.

Utusan mengumumkan pada 10 Ogos bahawa kekangan kewangan telah menyebabkan kegagalan pembayaran prinsipal dan keuntungan sebanyak RM1.18 juta kepada Bank Muamalat dan Maybank Islamic.

Ia menawarkan 11.07 juta saham baharu melalui penempatan swasta, atau 10% daripada 110.73 juta saham terbitannya, untuk memungut sebanyak RM2.1 juta bagi membayar balik bank dan untuk perbelanjaan yang dilakukan hasil daripada amalan itu.

Utusan dilaporkan mengalami kerugian setiap tahun sejak 2011. Sahamnya jatuh 2.3% hari ini kepada 21 sen untuk permodalan pasaran sebanyak RM23.25 juta. Sehingga kini, sahamnya menurun sebanyak 45%, untuk menghapuskan permodalan pasaran sebanyak RM18.8 juta. – 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen