Utusan lewat bayar gaji September


The Malaysian Insight

KAKITANGAN Kumpulan Utusan Melayu Berhad, syarikat media milik Umno, sekali lagi lambat menerima gaji bulan ini apabila pihak pengurusan memaklumkan gaji bagi September akan dibayar pada minggu pertama bulan depan, menurut pekeliling yang diedarkan minggu ini.

Syarikat itu sebelum ini gagal membayar gaji mengikut masa, pada Ogos untuk kakitangan eksekutif dan pada 15 September lalu untuk kakitangan bukan eksekutif, menyebabkan wartawan dan jurugambarnya sedia mengadakan piket.

Gaji bagi hujung bulan September yang sepatutnya dibayar sebelum Ahad kini akan dibayar sebelum 7 Oktober, kata surat pekeliling syarikat yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Surat bertarikh 25 September yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Sumber Manusia, Mohd Nazlan Osman itu menyebut gaji bulan ini untuk kakitangan eksekutif dan bukan eksekutif lewat dibayar “atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.”

“Syarikat akan berusaha memastikan bayaran gaji September 2018 akan dilaksanakan sebelum 7 Oktober 2018,” kata Nazlan, dalam pekeliling itu yang dikeluarkan dua hari lalu.

Minggu lepas, Utusan menawarkan skim pemberhentian sukarela (VSS) untuk mengurangkan separuh kakitangannya selepas syarikat tidak lagi dapat menampung kerugian dan kos operasi yang tinggi.

Tawaran itu bagaimanapun dikritik oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan sebagai  “tidak ikhlas, tidak jujur dan cukup mencurigakan.”

Tawaran itu dibentangkan oleh Pengerusi Eksekutif Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam taklimat tertutup kepada 1,000 kakitangan Utusan di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pada 21 September lalu. 

Kakitangan yang berminat boleh memohon VSS sehingga 10 Oktober ini, kata pekeliling skim itu yang juga dilihat oleh The Malaysian Insight.

NUJ berkata tawaran VSS untuk 800 daripada lebih 1,500 kakitangan itu dibuat secara tergesa-gesa tanpa berbincang dan mendapatkan pandangan daripada pihaknya.

Ia juga mendakwa tawaran itu lebih rendah berbanding syarat pemberhentian yang terkandung dalam perjanjian bersama antara NUJ dengan syarikat.

Sementara itu, Jabatan Perhubungan Perusahaan memanggil wakil empat kesatuan sekerja Utusan untuk mendengar padangan mereka mengenai tawaran VSS itu, kata sumber.

“Mereka dipanggil atas arahan menteri,” maklum sumber kepada The Malaysian Insight.

Selain NUJ cawangan Utusan, tiga kesatuan lain ialah NUJ cawangan Utusan Karya Sdn Bhd yang menerbitkan majalah keluaran Utusan serta dua cabang Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (KKPA).

The Malaysian Insight juga difahamkan pertemuan itu dibuat sebelum Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berjumpa dengan Lembaga Pengarah Utusan minggu depan.

Sabtu lalu, Mahfuz memberi amaran kepada Utusan supaya mematuhi undang-undang dengan membayar pampasan VSS sekali gus atau bersedia untuk dikenakan tindakan.

Utusan menawarkan dua pakej pampasan kepada iaitu sebulan gaji digandakan dengan jumlah tahun sudah berkhidmat atau tahun sebelum pencen, mana yang lebih rendah. Pampasan itu pula akan dibayar secara berperingkat dengan dua bulan gaji dibayar sekaligus manakala baki dibayar ansuran bulanan.

Utusan kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank.

Syarikat itu, yang dikuasai oleh Umno dengan pegangan saham 49.77%, menikmati keuntungan kali terakhir pada 2011. Kerugian terkumpulnya sehingga ini berjumlah RM71.4 juta setakat Mac lepas. – 30 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen