KEMENTERIAN Kesihatan akan mendapatkan penjelasan daripada AstraZeneca mengenai kesan sampingan vaksin Covid-19 seperti dilaporkan media antarabangsa baru-baru ini, lapor Bernama.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata syarikat farmaseutikal itu harus bertanggungjawab dengan mengemukakan penjelasan yang teliti dan telus kepada Malaysia dan dunia.
“Kami meminta wakil AstraZeneca memberikan penjelasan yang lebih teliti… dan saya lebih suka bersikap lebih telus kepada semua orang dan media,” katanya.
“Mereka mesti bertanggungjawab… tiada apa yang perlu kita sembunyikan, begitu juga dengan mereka.”
Baru-baru ini, akhbar UK The Telegraph melaporkan AstraZeneca mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covidnya boleh menyebabkan Sindrom Thrombocytopenia (TTS) dalam kes yang sangat jarang berlaku.
TTS menyebabkan orang ramai mengalami pembekuan darah dan kiraan platelet darah rendah.
Dzulkefly meminta penjelasan untuk mengelakkan kebimbangan orang ramai dalam kalangan penerima vaksin walaupun kadar risiko dilaporkan adalah 0.88 daripada sejuta dos yang diberikan.
Beliau berkata kementeriannya akan terus memantau dan menangani perkara itu berdasarkan bukti simptom dengan garis panduan klinikal untuk merawat individu terjejas. – 3 Mei, 2024.
Komen