Sekolah tingkat kewaspadaan Covid-19 ketika sesi dibuka semula


Naib Presiden Persatuan Guru Besar Sekolah Cina Malaysia Chew Eng Hock berkata pihak pengurusan sekolah Cina akan memantau rapi kes yang dilaporkan di sekolah masing-masing selepas sesi persekolahan dibuka semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Disember, 2023.

SEKOLAH persendirian Cina sedang berusaha untuk melaksanakan semula prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ketika sesi persekolahan dibuka semula minggu depan.

Naib Presiden Persatuan Guru Besar Sekolah Cina Malaysia Chew Eng Hock memberitahu The Malaysian Insight pemakaian pelitup muka dan peringatan untuk sentiasa mencuci tangan akan dilaksanakan semula di sekolah yang diuruskan persatuan itu.

Beliau berkata pihak pengurusan sekolah Cina akan memantau rapi kes yang dilaporkan di sekolah masing-masing selepas sesi persekolahan dibuka semula.

“Sekiranya terdapat peningkatan kes, pihak sekolah boleh mengambil tindakan yang lebih drastik, seperti meminta ibu bapa mengukur suhu badan anak-anak mereka sebelum menghantar ke sekolah,” katanya.

Pada 18 Disember lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan lima strategi utama untuk menangani peningkatan mendadak kes Covid-19, termasuk pengesanan awal kes yang disahkan dan memperkasakan semula amalan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, dan Seek).

Beliau berkata data menunjukkan punca utama lonjakan baru-baru ini daripada penularan varian Omicron.

Sambil mengakui peningkatan kes, beliau memberi jaminan keadaan masih terkawal dan tidak membebankan sistem penjagaan kesihatan.

Presiden Persatuan Guru Tadika Malaysia, Sally Ng, bagaimanapun berkata jaminan itu tidak meyakinkan.

Ng berkata beliau bimbang dengan peningkatan semula kes Covid-19.

Beliau berkata persatuan itu kini mempertimbangkan cadangan untuk mengadakan ujian kendiri mingguan kepada pelajar selepas sesi persekolahan dibuka semula.

“Kami sedar pelajar berisiko tinggi terdedah semasa cuti.”

Ng berkata jika cadangan itu diterima pakai, ibu bapa akan diberitahu supaya anak-anak mereka dikehendaki melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum ke sekolah.

Kementerian Pendidikan sudah mengeluarkan arahan kepada semua sekolah untuk melaksanakan semua langkah pencegahan yang perlu sebelum pelajar kembalik ke sekolah pada 2 Januari ini.

Garis panduan itu menetapkan penyediaan bilik pengasingan untuk pelajar bergejala atau disahkan menjalani pengasingan atau ujian kendiri.

Guru atau kakitangan berkaitan yang terlibat dalam proses itu dikehendaki memakai pelitup muka dan sarung tangan pakai buang, mengekalkan penjarakan fizikal.

Pelajar yang didapati negatif boleh meneruskan aktiviti seperti biasa tetapi masih dinasihatkan memakai pelitup muka dan mengelakkan tempat yang sesak. – 30 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen