Agong nasihat rakyat berjaga-jaga kawal peningkatan kes Covid-19


Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan rakyat agar menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2023.

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menasihati rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan berdisiplin dalam kawalan kendiri berikutan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Zahari Mohd Ariffin berkata Al-Sultan Abdullah turut menasihati rakyat khususnya golongan rentan, warga emas dan yang mempunyai komorbiditi agar mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam, sesak dan tertutup.

Beliau berkata pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong menitahkan rakyat agar menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Selain kawalan kendiri itu, individu bergejala disaran mengelakkan 3S iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang (jarak dekat) sebagai langkah pencegahan dan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran jika rakyat lalai atau mengambil sikap sambil lewa, kes Covid-19 akan terus meningkat, tambahan pula ketika ini musim percutian sekolah, yang menyaksikan banyak pergerakan dan perhimpunan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis, memantau rapi kes jangkitan Covid-19 di seluruh negara dan mengeluarkan cadangan serta arahan berkaitan bergantung kepada situasi semasa.

“Rakyat juga disaran supaya sentiasa peka dengan perkembangan terkini berkenaan kes Covid-19 di negara ini dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media di Putrajaya berkata bagi tempoh 10 hingga 16 Disember sebanyak 20,696 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka di kawasan awam dan tertutup, mengelakkan kawasan sempit dan sesak serta mengambil vaksin Covid-19. – Bernama, 19 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen