Khairy, Kian Ming gesa langkah berjaga-jaga cegah gelombang baharu Covid-19


Antara lain, KKM disaran supaya mengesyorkan pengambilan suntikan dos penggalak terutamanya dalam kalangan golongan rentan dan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka dengan sistem imun yang lemah. – Gambar EPA, 15 Disember, 2023.

KHAIRY Jamaluddin dan Ong Kiang Ming menggesa kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan berulangnya gelombang kes Covid-19 di negara ini.

Bekas menteri kesihatan dan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dalam satu kenyataan bersama hari ini mengemukakan beberapa cadangan sebagai persediaan untuk mencegah lonjakan kes.

“Memandangkan kes baharu Covid-19 mencecah paras tertinggi tahunan iaitu 29,129 kes pada 11 Disember 2023, satu trend yang turut disaksikan di peringkat serantau dan global, kami menyeru Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad untuk mempertimbangkan beberapa tindakan sebagai persediaan berulangnya peningkatan kes Covid-19 besar-besaran, susulan ‘gelombang’ jangkitan yang muncul,” kenyataan itu dipetik.

Pertama, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dicadangkan supaya memperkenal dan menggalakkan semula prosedur amalan standard (SOP) TRIIS iaitu Test (Uji)), Report (Lapor), Isolate (Asingkan diri), dan Seek (Dapatkan bantuan/rawatan) di kalangan orang ramai, sementara sektor awam bersedia menghadapi kemungkinan gelombang baharu jangkitan.

KKM juga perlu mengesyorkan pengambilan suntikan dos penggalak terutamanya dalam kalangan golongan rentan dan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka dengan sistem imun yang lemah, katanya.

“KKM harus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk memudah cara proses perolehan yang telus bagi mendapatkan varian-varian terbaru vaksin penggalak yang terdapat di pasaran. 

“Pada masa yang sama, KKM harus mula mengaktifkan semula ekosistem imunisasi di seluruh negara melalui klinik dan hospital swasta serta kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Ketiga, kementerian itu disarankan supaya mempertimbang langkah untuk memulakan semula penggunaan aplikasi MySejahtera bagi tujuan laporan dan pemantauan kesihatan para pesakit Covid-19. 

“Pada masa yang sama, KKM juga harus mengerahkan pasukan analisis datanya (atau bekerjasama dengan pihak lain yang mempunyai keupayaan analisis data) untuk menganalisis data baharu Covid-19 bagi mengenal pasti corak penyebaran wabak berdasarkan lokasi, tempat kerja dan lain-lain data demografik pesakit. 

“Para penyelidik juga boleh mengakses data awam Covid-19 di https://github.com/MoH-Malaysia/covid19-public untuk membantu dalam tugasan menganalisis data.”

Seterusnya, Khairy dan Ong berkata KKM harus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan Kementerian Sumber Manusia untuk mengesan corak penyebaran jangkitan dalam kalangan pekerja kilang serta menjalankan siasatan ke atas keadaan hidup para pekerja tersebut. 

“Salah satu sebab terjadinya ‘kluster kilang’ semasa pandemik lalu adalah kerana ramai di kalangan pekerja ini yang kebanyakannya warga asing, tinggal berhimpit dalam kediaman yang terlalu sesak dan tanpa pengudaraan yang baik. 

“Tindakan tegas mesti diambil terhadap syarikat-syarikat yang masih menempatkan pekerja asing mereka dalam keadaan daif dan tidak mematuhi piawaian buruh antarabangsa,” jelas mereka.

Akhir sekali, mereka menggesa supaya KKM mempertimbangkan untuk menerbitkan data harian kematian kes Covid-19 sebagai cara memaklumkan masyarakat tentang bahaya varian baharu virus bagi menggalakkan orang ramai terutamanya golongan berisiko tinggi supaya mengambil suntikan dos penggalak mereka.

“Lonjakan terbaharu kes-kes Covid-19 ini diharap hanya bersifat sementara namun berdasarkan pengalaman berhadapan dengan pandemik lalu, kita harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi bersama-sama melindungi semua masyarakat yang tinggal di negara kita.” – 15 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen