Khairy tidak patut salahkan orang lain atas kegagalannya, kata King Sing


Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing berkata Khairy Jamaluddin tidak seharusnya menuding jari ke arah menteri lain atas kegagalannya RUU Generasi Penamat (GEG) diluluskan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2023.

KHAIRY Jamaluddin harus menyalahkan dirinya sendiri dan tidak seharusnya menuding jari ke arah menteri lain atas kegagalannya RUU Generasi Penamat (GEG) diluluskan, kata Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing.

“Apakah sumbangan lain yang beliau menyumbangkan kepada sistem kesihatan negara kita?

“Jika tiada beliau sepatutnya tidak seharusnya menuding jari ke arah menteri lain termasuk saya atas kegagalan RUU GEG diluskan,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau merujuk kepada catatan media sosial bekas menteri kesihatan itu semalam di mana beliau menuduh dua menteri dan perdana menteri menyekat rang undang-undang GEG.

Menerusi Instagram Khairy menulis kedua-duanya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dan Tiong.

Khairy membentangkan RUU GEG semasa beliau menjadi menteri kesihatan dan menyelar pentadbiran semasa untuk mengendalikan perkara itu.

Tiong berkata Khairy tidak boleh menerima begitu sahaja keputusan bahawa RUU yang dicadangkan itu tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

“Sekiranya perkara yang tidak bersedia ini dilaksanakan secara tergesa-gesa dan akhirnya terdapat pelbagai kelemahan dan kritikan sehingga menyebabkan aduan awam secara besar-besaran, siapakah yang harus dipersalahkan?,” katanya.

Tiong juga berkata beliau berulang kali menyatakan keraguan tentang rang undang-undang itu di Parlimen.

“Ketika itu selain tidak memberi jawapan secara terperinci Khairy juga dilihat tidak pernah menjawab soalan saya berkaitan perkara tersebut secara khusus.

“Apa yang lebih melampau apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa golongan B40 merupakan kumpulan majoriti yang terjejas dengan penyakit seperti kanser, sakit jantung dan penyakit berkaitan paru-paru akibat komplikasi merokok.

“Hakikatnya ramai pesakit kanser tidak mempunyai sejarah merokok, malah jarang menghidu asap rokok dalam kehidupan seharian. Jadi, bagaimana keadaan dan pengalaman mereka yang berkaitan dengan kanser iini dapat dijelaskan?,” katanya.

Tambahnya, Khairy gagal membuktikan secara konsisten kanser berpunca daripada tabiat merokok malah gagal mengambil langkah menubuhkan pusat penyelidikan atau institusi berkaitan bagi menganalisis dan menyelidik lebih lanjut data terperinci pesakit kanser di negara ini.

“Oleh itu RUU yang anda cadangkan ini tidak mempunyai asas yang kukuh untuk dipertahankan dan apa yang lebih penting, tidak seharusnga anda menyalahkan menteri lain hanya untuk melampiaskan kekecewaan anda,” katanya.

Rang undang-undang yang dipinda itu dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi. – 16 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen