Bekas pemimpin Umno cuma lepas geram, kata Mohamad


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan juga mengingatkan Umno tidak lagi mampu berhadapan episod perpecahan dan sebarang teguran harus disalurkan melalui saluran dalaman parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun 2023.

TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan mengingatkan ahlinya agar tidak terganggu dengan kritikan bekas pemimpin yang berada di luar parti.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ahli parti perlu terus memandang ke hadapan kerana Umno tidak boleh melarang mana-mana individu daripada mengkritik parti itu.

“Mereka nak bercakap kita tak boleh menahan tapi Umno ini parti yang telah banyak usia, parti yang lama. Saya jangkakan dan saya harap ahli-ahli lain membuat penilaian masing-masing.

“Kadang-kadang ada ungkapan yang mereka lemparkan itu merupakan perang psikologi, ada juga merupakan melepaskan geram.

“Jadi saya harap ahli Umno tidak terganggu dengan apa yang dikatakan, kita maju ke hadapan,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat pusat media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Menteri pertahanan itu juga mengingatkan Umno tidak lagi mampu berhadapan episod perpecahan dan sebarang teguran harus disalurkan melalui saluran dalaman parti.

“Seperti yang saya sebut ketika ucapan perasmian Wanita, Pemuda, dan Puteri tempoh hari, kita tak mampu lagi untuk berpecah-pecah kita tak mampu lagi diperselisih berpuak-puak.

“Kurangkanlah sindir-menyindir antara satu sama lain jika ada cadangan dan pandangan untuk kebaikan parti ataupun menegur parti. Gunakan saluran yang sedia ada dalam parti untuk kita bincang dan untuk kita perbaiki kelemahan.

“Kita ini organisasi parti memang tak lekang dari kelemahan jadi jika ada apa-apa pandangan yang baik salurkan melalui saluran parti,” kata Mohamad.

Beliau mengulas kritikan daripada bekas pimpinan seperti Tajuddin Abdul Rahman dan Khairy Jamaluddin terhadap parti itu.

Tajuddin semalam mendakwa Umno kini lemah kerana terdapat pemimpin parti yang gagal menjalankan tugasnya.

Bekas ahli Parlimen Pasir Salak itu kini digantung enam tahun daripada Umno.

Manakala Khairy yang merupakan bekas ketua Pemuda Umno juga dalam kritikannya menjangka parti itu akan tewas dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Khairy juga dipecat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 atas tuduhan melanggar disiplin parti. – 10 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen