Bersatu tawar Khairy jawatan ahli majlis tertinggi


Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin berkata tawaran ini dibuat selepas beliau berbincang dengan pemimpin parti lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2023.

PEMIMPIN Umno yang dipecat Khairy Jamaluddin ditawarkan jawatan dalam majlis tertinggi Bersatu jika beliau memutuskan untuk menyertai parti itu, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Bersatu itu memberitahu pemberita selepas satu acara di Petaling Jaya tawaran ini dibuat selepas beliau berbincang dengan pemimpin parti lain.

“Ada kalau dia (Khairy) sudi. Ini bukan umpan, seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak,” katanya.

“Ia hanya kerana kami tahu dia boleh menyumbang. Saya serahkan kepadanya untuk membuat keputusan.”

Khairy adalah antara mereka yang dipecat atau digantung daripada Umno kerana melanggar disiplin parti selepas pilihan raya umum tahun lepas.

Terdapat perbincangan bahawa Perikatan Nasional mahu mengambil kira populariti Khairy untuk bertapak lebih kukuh di Selangor atau Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri akan datang.

Khairy berpindah dari kerusi Parlimen Rembau ke Sungai Buloh pada pilihan raya umum lalu tetapi tewas kepada R Ramanan dari PKR. – 17 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen