Khairy sertai Anwar bincang ekonomi Malaysia 


Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin turut hadir pada perbincangan ekonomi di Kementerian Kewangan, Putrajaya hari ini. – Gambar Facebook, 16 Jun, 2023.

BEKAS menteri kesihatan Khairy Jamaluddin antara beberapa ahli ekonomi dan penjawat awam yang menghadiri mesyuarat untuk membincangkan hala tuju ekonomi negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam catatan Facebook, Anwar berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha Putrajaya untuk mengumpul maklum balas mengenai ekonomi daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Petang tadi saya telah mengadakan perbincangan terkait hala tuju ekonomi negara antaranya bersama-sama ahli ekonomi, Johari Ghani dan juga saudara Khairy Jamaluddin,” kata Anwar dalam posting berkenaan.

Beliau berkata perbincangan itu menyentuh tentang cara menambah baik dan menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara.

Perdana menteri berkata mesyuarat itu bersetuju negara mempunyai masa yang terhad untuk menyelesaikan masalah ekonominya dan membawa Malaysia kembali ke landasan yang betul.

“Saya faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran. Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan mengapa Khairy dijemput ke perbincangan berkenaan.

Bekas ahli Parlimen Rembau itu telah dipecat daripada partinya pada Januari dan kini sedang mempertimbangkan pelawaan menyertai Perikatan Nasional untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang di Selangor.

Naib presiden Umno dan Ahli Parlimen Tititwangsa Johari sebelum ini merupakan menteri kewangan kedua dalam pentadbiran Najib Razak.

Antara ahli ekonomi dan penjawat awam yang hadir ialah Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Nungsari Ahmad Radhi, Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Universiti Kebangsaan Malaysia Noor Azlan Ghazali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican, dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron. – 16 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen