20 kes Covid-19 dikesan di PPS Kelantan, Terengganu, kata menteri


Sebanyak 15 kes dilaporkan di pusat pemindahan sementara di Kelantan manakala lima kes lagi di Terengganu dari 22 Disember hingga semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2023.

SEBANYAK 20 kes Covid-19 dikesan melibatkan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dan Terengganu dari 22 Disember lepas hingga semalam, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 15 kes dilaporkan di Kelantan manakala lima kes lagi di Terengganu.

“Kesemua kes Covid-19 yang dilaporkan adalah stabil dan terdiri daripada kategori dua (17 kes), kategori tiga (2 kes) dan kategori empat (1 kes).

“Kes Covid-19 kategori empat merupakan warga emas dengan komorbid hipertensi tidak terkawal, namun pesakit terbabit telah discaj dari Hospital Jeli di Kelantan, semalam,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Jeli 1 di Jeli hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKNK) Kelantan Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata setakat ini sebanyak 297 pasukan perubatan, 286 pasukan kesihatan, 102 pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) dan 286 pasukan promosi digerakkan ke PPS seluruh negara bagi memberi perkhidmatan kepada mangsa banjir.

“Sehingga hari ini, tiada keperluan bantuan mobilisasi petugas ke negeri yang terlibat banjir, namun kita sentiasa bersedia untuk menggerakkan pasukan mobilisasi ke negeri terjejas banjir sekiranya diperlukan.

“Selain itu, sebanyak 123 Bantuan Awal Psikologi (PFA) turut dijalankan kepada petugas kesihatan bagi mengesan awal masalah kesihatan mental untuk memberi rawatan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata aktiviti kawalan dan pencegahan penyakit sentiasa dilakukan oleh pasukan kesihatan di PPS seperti pemeriksaan tempat penyediaan makanan, pemantauan kualiti bekalan air, pemusnahan tempat pembiakan nyamuk dan sebagainya bagi mencegah penularan penyakit berjangkit. – Bernama, 31 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen