Buka institusi pendidikan kita untuk bukan Bumiputera, kata Zaid


Bekas menteri Zaid Ibrahim berkata Umno tidak perlu takut untuk UiTM membuka programnya kepada pelajar bukan Melayu yang berkelayakan. – Gambar Facebook, 3 Mei, 2024.

KERAJAAN tidak perlu takut untuk membuka institusi pendidikannya kepada semua rakyat Malaysia yang layak, kata bekas menteri Zaid Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan terutama Umno perlu hilangkan rasa takut itu kerana membantu bukan Melayu juga boleh membantu Bumiputera.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkenaan tidak ada perbincangan untuk membuka pasca siswazah pembedahan kardiotoraks di Universiti Teknologi MARA (UiTM) kepada mahasiswa bukan Bumiputera, setakat ini.

“Tidak ada isu berbangkit kecuali memang rasa takut sejak dulu untuk membuka UiTM kepada bukan Bumiputera.

“Ini masalah Umno. Umno, ia amat membantu jika anda melihat perkara ini dari sudut berbeza.

“Negara perlu diutamakan. Kita kekurangan pelbagai jenis pakar dalam sektor kesihatan awam. Kita kekurangan jururawat,” kata Zaid di platform X hari ini.

Beliau berkata doktor dan jururawat Malaysia ramai yang ke luar negara sementara lebihannya masuk ke hospital sektor swasta.

Ini menyebabkan kebajikan sistem kesihatan awam negara dalam bahaya.

“Institusi pendidikan kita perlu terbuka dan mengambil semua pelajar yang layak untuk mengisi tempatnya.

“UiTM ditubuhkan untuk membantu Bumiputera dan perlu diteruskan begitu. Tetapi hari ini, kita perlu mengiktiraf yang membantu bukan Melayu ke UiTM juga adalah membantu Bumiputera dengan menyelesaikan masalah negara.

“Takut ada lebih ramai doktor, jururawat, pensyarah bukan Melayu adalah trauma zaman 1970-an.

“Umno perlu keluarkan dirinya daripada ketakutan yang tidak rasional ini. Kita sekarang satu negara yang ada masalah lebih besar tetapi mempunyai sumber yang cukup untuk setiap kumpulan,” katanya.

Semalam, Zambry menafikan ada perbincangan dibuat mengenai cadangan untuk memperluas program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks di UiTM kepada mahasiswa bukan Bumiputera, berkata ada beberapa perkara asas perlu ditekankan sebelum mempertimbangkan cadangan untuk menerima pelajar bukan Bumiputera bagi program berkenaan.

Pada 25 April, Profesor di Fakulti Perubatan UiTM, Dr Raja Amin Raja Mokhtar dilaporkan berkata UiTM mempertimbangkan cadangan memperluas program pasca siswazah pembedahan kardiotoraks kendaliannya kepada doktor pelatih bukan Bumiputera.

Beliau dikatakan mencadangkan perkara itu sebagai penyelesaian isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau “Parallel Pathway” pembedahan kardiotoraks yang tidak diiktiraf. – 3 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen