Gaji tidak dibayar ikut jadual, pekerja Utusan sedia lancarkan piket


Zaim Ibrahim

LEBIH 100 wartawan dan jurugambar Utusan Malaysia sedia berpiket dalam waktu yang terdekat selepas pihak pengurusan mengesahkan Kumpulan Utusan Melayu Berhad sudah tidak cukup dana untuk membayar gaji mereka, kata sumber.

Syarikat itu hanya membayar gaji bulan Ogos untuk kakitangan eksekutifnya pada 6 September lalu, manakala gaji pertengahan September untuk kakitangan bukan eksekutif, yang sepatutnya dibayar pada 15 September hanya akan dibayar pada 21 haribulan minggu depan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, ahli-ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan sudah setuju untuk berpiket, tertakluk pada peraturan di bawah Akta Perhubungan Industri.

Tindakan itu adalah langkah terdesak selepas syarikat turut mengabaikan kebajikan pekerja yang lain, termasuk kemudahan rawatan kesihatan.

“Memang ramai (yang mahu mengadakan piket). Sekarang ini, lebih 100 wartawan dan jurugambar sudah setuju untuk menyertai piket,” kata sumber dalaman yang enggan namanya didedahkan.

The Malaysian Insight turut difahamkan pihak pengurusan tidak mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi kepada kakitangan untuk menjelaskan keadaan terkini kewangan syarikat sehingga menyebabkan gaji dua kali terlewat dibayar.

Jumaat lepas, NUJ Utusan menasihati wartawan dan jurugambar supaya hanya bertugas di pejabat sebagai tanda protes kepada pihak pengurusan syarikat yang gagal mengendalikan kewangan syarikat dengan baik.

“Sekarang, memang ramai (wartawan dan jurugambar) hanya bekerja dari pejabat untuk protes tapi secara senyap-senyap. Kawan-kawan saya nak makan pun tiada duit,” kata sumber itu.

NUJ Utusan menasihati wartawan dan jurugambar supaya hanya bertugas di pejabat sebagai tanda protes kepada pihak pengurusan syarikat yang gagal mengendalikan kewangan syarikat dengan baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September, 2018.

Sumber itu turut mengesahkan sejak 2014 lagi kakitangan Utusan sudah tidak dilindungi dengan kad perubatan untuk rawatan kesihatan sebaliknya perlu membayar sendiri dan membuat tuntutan kepada syarikat. 

Minggu lalu, NUJ Utusan mendedahkan pihak pengurusan sejak beberapa bulan lalu sudah tidak lagi melunaskan komitmen kebajikan kepada pekerja, termasuk tuntutan perjalanan, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan pinjaman bank, tuntutan perubatan dan pelbagai potongan gaji lain.

“Mulai bulan lepas, kami diberi memo bahawa semua klinik swasta dibatalkan (untuk tuntutan perubatan) dan pergi ke klinik kerajaan saja,” tambah sumber.

Seorang lagi wartawan Utusan mendedahkan, kakitangan syarikat itu kini sudah tidak lagi bersemangat untuk bekerja, tetapi mereka tidak pula mahu berhenti kerana sebelum ini difahamkan syarikat akan menawarkan skim pemberhentian sukarela (VSS).

Pada Jun lalu, pengurusan syarikat membayangkan kakitangan Utusan akan ditawarkan VSS sebelum akhir tahun ini – langkah yang difahamkan melibatkan kos pampasan kira-kira RM90 juta.

Utusan bagaimanapun kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank. – 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen