Syarikat tiada duit bayar gaji, wartawan Utusan mahu lancar protes


The Malaysian Insight

WARTAWAN Utusan Malaysia mahu melancarkan protes hanya bertugas di pejabat  selepas pihak pengurusan Kumpulan Utusan Melayu Berhad dua kali gagal membayar gaji mengikut jadual, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia cawangan syarikat itu (NUJ-Utusan).

Khamis lalu, NUJ Utusan diberitahu oleh pihak pengurusan bahawa syarikat sudah tidak ada wang yang cukup untuk membayar gaji kakitangannya.

Keadaan ini akan menyukarkan kakitangan untuk bekerja seperti biasa, termasuk hendak mengisi minyak pergi bertugas khasnya bagi wartawan dan jurugambar yang selalu bertugas di luar, kata ahli majlis kesatuan itu.

“NUJ ingin menasihatkan ahli kami di Utusan, jika tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk mengisi petrol dan keluar bertugas supaya datang kerja seperti biasa dan duduk membuat kerja di pejabat sahaja sebagai tanda protes,” kata kesatuan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan atas nama ahli majlisnya.

Menurut NUJ, Utusan hanya membayar gaji bulan Ogos untuk kakitangan eksekutifnya pada 6 September lalu, manakala gaji pertengahan bulan September untuk kakitangan bukan eksekutif pula, yang sepatutnya dibayar hari ini, hanya akan dibayar pada 21 haribulan minggu depan.

Kenyataan NUJ ini mengesahkan maklumat dari sumber dalaman lain yang diperolehi oleh The Malaysian Insight.

“NUJ telah dimaklumkan oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad  tentang perkhabaran buruk bahawa syarikat akhbar milik Umno kini sudah tidak mempunyai cukup wang untuk membayar gaji pekerjanya,” kata ahli majlis NUJ Utusan dalam  satu kenyataan hari ini.

NUJ juga mendedahkan syarikat sejak beberapa bulan lalu sudah tidak lagi melunaskan komitmen kewangannya yang lain kepada pekerja, termasuk tuntutan perjalanan, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan pinjaman bank, tuntutan perubatan dan pelbagai potongan gaji lain.

“Keadaan ini ternyata menyukarkan kakitangan Utusan untuk bekerja seperti biasa dan menanggung kehidupan keluarga masing-masing apatah lagi dalam keadaan moral pekerja yang semakin jatuh sekarang,” kata kesatuan itu.

The Malaysian Insight turut difahamkan sejak bulan lepas juga, kakitangan Utusan tidak lagi menikmati kemudahan rawatan kesihatan seperti sebelumnya. Mereka tidak lagi diberikan surat jaminan untuk ke pusat rawatan swasta.

NUJ juga kesal dengan cara pengerusi eksekutif Utusan yang baharu, Abd Aziz Sheikh Fadzir mengendalikan syarikat sehingga mengabaikan kebajikan dan nasib 1,400 kakitangannya. Beliau dilantik ke jawatan itu sejak 7 Jun lepas.

Akhbar Utusan akan diterbitkan dalam bentuk kompak mulai esok dalam usaha syarikat berkenaan mengurangkan kos operasi. – Gambar AFP 15 September, 2018

“Penderitaan kakitangan Utusan boleh berakhir jika beliau mempunyai perancangan yang teratur, jujur dan ikhlas di sebalik pelbagai perancangannya yang banyak tetapi kelam kabut dan mempunyai kepentingan sendiri,” kata kesatuan itu.

Akhbar Utusan akan berwajah baru mulai esok, terbit dalam bentuk kompak dan bukan lagi lembar lebar, dalam usaha syarikat mengurangkan kos operasi.

“Adalah menjadi satu kesilapan besar Umno sebagai pemegang saham terbesar dalam Utusan meletakkan beliau untuk menguruskan syarikat akhbar ini berdasarkan dengan apa yang berlaku sekarang,” tambah NUJ.

The Malaysian Insight menghubungi Aziz untuk mendapatkan komen tetapi beliau tidak menjawab panggilan telefon.

Akhir bulan lepas, NUJ mengulangi permintaan agar Umno melepaskan pegangannya bagi membolehkan syarikat membayar gaji pekerja. Umno memiliki saham terbesar sebanyak 49.77% dalam Utusan Melayu.

Syarikat akhbar yang terbit sejak 1939 itu kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua buah bank.

Pada Jun lalu, pengurusan syarikat membayangkan kakitangan Utusan akan ditawarkan skim pemberhentian sukarela sebelum akhir tahun ini – langkah yang difahamkan melibatkan kos pampasan kira-kira RM90 juta, suatu jumlah yang juga membebankan syarikat pada masa ini, kata sumber.

Utusan menikmati keuntungan kali terakhir pada 2011, dengan kerugian terkumpulnya setakat ini berjumlah RM71.4 juta setakat Mac lepas.

Kerugian itu juga menjadi alasan bagi syarikat untuk tidak memperbaharui perjanjian bersama dengan NUJ bagi penggal 2014-2017. Pertikaian itu sedang dirunding di mahkamah.– 15 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen