Utusan tawar VSS kurangkan separuh pekerja, kata sumber


The Malaysian Insight

Kumpulan Utusan Melayu Berhad hari ini menawarkan skim pemberhentian sukarela kepada kakitangannya setelah tidak lagi menampung kerugian mencecah RM8 juta sebulan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2018.

KUMPULAN Utusan Melayu Berhad hari ini menawarkan skim pemberhentian sukarela (VSS) kepada separuh daripada lebih kurang 1,400 kakitangannya selepas syarikat tidak lagi dapat menampung kerugian dan kos operasi yang tinggi, kata beberapa sumber.

Tawaran itu dibentangkan Pengerusi Eksekutif Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam taklimat tertutup kepada 1,000 kakitangan Utusan di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pagi tadi, kata seorang sumber.

“Taklimat itu memaklumkan tawaran pakej pampasan dan kaedah pembayaran,” kata sumber yang menghadiri taklimat itu kepada The Malaysian Insight.

Tawaran itu dibuka kepada kakitangan bermula hari ini sehingga 10 Oktober, kata seorang lagi sumber.

The Malaysian Insight cuba menghubungi Aziz untuk mendapatkan komen tetapi beliau tidak menjawab panggilan telefon atau membalas pertanyaan di WhatsApp.

Seorang lagi sumber yang juga hadir taklimat itu memberitahu kakitangan ditawarkan dua formula pampasan iaitu sebulan gaji digandakan dengan jumlah tahun sudah berkhidmat atau jumlah tahun sebelum bersara, mana yang lebih rendah.

“Kami diberitahu dana pampasan akan diambil daripada hasil jualan aset yang tidak diguna melalui pemegang amanah,” kata sumber itu.

Kumpulan Utusan Melayu Berhad mahu membuang separuh daripada lebih kurang 1,400 kakitangannya setelah kerugian syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2018.

Taklimat yang turut dihadiri pengarah besar sumber manusia syarikat itu bagaimanapun tidak menyebut aset yang dimaksudkan, tambah sumber.

Dalam mesyuarat agung tahunannya pada Jun lepas, pihak pengurusan syarikat mendedahkan rancangan mahu mengecilkan jumlah kakitangannya kepada lebih kurang separuh berbanding jumlah sekarang bagi mengurangkan kerugian yang mencecah RM8 juta sebulan.

Minggu lalu, Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan menasihati wartawan dan jurugambar supaya hanya bertugas di pejabat sebagai tanda protes kepada pihak pengurusan syarikat yang gagal mengendalikan kewangan syarikat dengan baik.

Syarikat itu dua kali gagal membayar gaji mengikut masa, pada Ogos untuk kakitangan eksekutif dan pada 15 September lalu untuk kakitangan bukan eksekutif, menyebabkan wartawan dan jurugambarnya sedia mengadakan piket.

The Malaysian Insight turut difahamkan pihak pengurusan tidak mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi kepada kakitangan untuk menjelaskan keadaan terkini kewangan syarikat sehingga menyebabkan gaji dua kali terlewat dibayar.

Utusan kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul RM1.18 juta kepada dua bank. – 21 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen