Genap seminggu ambil alih, ketua pengarang Utusan letak jawatan


Ibrahim Yahaya meletak jawatan sebagai ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu Berhad berkuat kuasa hari ini. – Gambar Twitter 21 Disember, 2018.

IBRAHIM Yahaya melepaskan jawatan sebagai ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu Berhad, genap seminggu selepas dilantik mengetuai akhbar penerbitan syarikat milik Umno itu.

Beliau letak jawatan dua hari selepas Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden Umno kepada timbalannya Mohamad Hasan.

Ibrahim adalah bekas setiausaha akhbar Zahid semasa ahli Parlimen Bagan Datuk itu jadi timbalan perdana menteri dalam kerajaan Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum 9 Mei.  

Utusan Malaysia mengumumkan keputusan itu dalam satu notis kepada Bursa Malaysia petang ini.

Sumber memberitahu The MaIaysian Insight,  kakitangan Utusan juga hanya tahu mengenai keputusan Ibrahim itu melalui pengumuman di Bursa Malaysia.

Pojok Awang Selamat di Mingguan Malaysia pada Ahad lalu juga bertukar nama kepada Belang Bertempat. Ibrahim dikenali dalam kalangan rakan-rakannya dengan nama Tiger.

Ibrahim merupakan antara empat orang pengarah bukan eksekutif baharu yang dilantik ke lembaga Utusan pada 17 Julai, susulan kekalahan Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Beliau seterusnya dilantik sebagai ketua pengarang kumpulan dan pengarah eksekutif berkuatkuasa 13 Disember, menggantikan Abd Aziz Sheikh Fadzir di jawatan itu.

Pelantikan itu dibuat lebih kurang dua minggu selepas syarikat akhbar milik Umno itu melaksanakan proses pengecilan operasi.

Ibrahim, 58, merupakan ketua pengarah penyiaran dari tahun 2009 hingga 2011.

Beliau memulakan kerjayanya dalam bidang kewartawanan dengan Berita Harian dan pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai eksekutif Bernama TV dari Ogos 2013 hingga Disember 2014. – 21 Disember, 2018. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen