Zahid serah tugas presiden kepada Mat Hasan


Sheridan Mahavera

Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugasnya sebagai presiden Umno kepada Mohamad Hasan berkuat kuasa serta-merta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden Umno kepada Timbalannya Mohamad Hasan dan berharap tiada lagi wakil rakyat Umno keluar parti.

Selepas berdepan desakan demi desakan untuk berundur, Zahid membuat pengumuman itu dalam satu majlis wacana anjuran Penerangan Umno di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur, malam ini.

Zahid bagaimanapun menegaskan pengundurannya “bukan letak jawatan” tetapi jalan tengah untuk menyelamatkan parti dan menyekat lebih ramai lagi wakil rakyat Umno melompat parti.

“Jika benar saya jadi punca utamanya (lompat parti), keputusan saya lakukan adalah saya berikan kepercayaan kepada Mohamad Hasan untuk jalankan tugas presiden,” katanya kepada wartawan selepas program wacana di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Sehingga minggu lalu, 17 ahli Parlimen Umno sudah keluar parti menjadikan Umno sekarang tinggal 37 wakil di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin yang keluar Umno bersama lima yang lain Jumaat lepas memberi amaran ada 10 lagi wakil rakyat akan keluar parti sekiranya Zahid tidak berundur.

Zahid, yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat, menjelaskan buat masa ini beliau adalah seorang “presiden yang tidak menjalankan tugas presiden”.

“Ini tentunya sesuai dengan perlembagaan Umno bahawa jika presiden tidak mendapat hidayah maka kaedah terbaik adalah beri kepercayaan kepada timbalan untuk jalankan tugas presiden,” tambahnya.

Jelas Zahid, Mohamad akan menjalankan tugas presiden selagi beliau mampu.

“Atau sehingga beliau yakin saya boleh menguruskan tugas dan tanggungjawab itu bergantung pada situasi politik,” katanya.

Zahid mengumumkan keputusannya ini tiga hari selepas tekanan memuncak terhadapnya supaya melepaskan jawatan – dan melepaskan jawatan sekarang  atau sebelum hujung tahun

Hanya tiga hari lalu juga Zahid menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan itu kerana kedudukannya hanya boleh ditentukan dalam perhimpunan agung khas parti.

Namun malam ini, Zahid membayangkan keputusan beliau berundur sebagai satu langkah menyelamatkan Umno “dari rebah"dan langkah itu harus dijalankan segera.

“Saya harap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan dan saya mahu kepimpinan di peringkat akar umbi fokus memperkukuhkan parti.

“Saya menyeru supaya tiada lagi tindakan keluar parti daripada ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun,” kata Zahid dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

Beliau juga berharap perpaduan Umno akan mantap dan parti Melayu itu boleh bangkit semula.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, Umno hilang kuasa buat pertama kali dalam sejarahnya sebagai kerajaan sejak Merdeka.

Ia menang 54 kerusi Parlimen tetapi kerusi itu sekarang tinggal 37 selepas 17 wakil rakyatnya keluar parti, sama ada menyertai parti dalam Pakatan Harapan atau parti lain atau jadi wakil rakyat bebas.

Zahid memangku tugas presiden Umno tiga hari selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 apabila bekas presiden Najib Razak letak jawatan. Umno kemudian mengadakan pemilihan parti yang tertangguh dua kali sebelum pilihan raya. 

Zahid disahkan sebagai presiden selepas mengalahkan pencabar utamanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 30 Jun lepas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kini berdepan 46 pertuduhan di mahkamah melibatkan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan mengubah wang haram.

Beliau berkali-kali menyebut tindakan mahkamah terhadapnya itu diambil kerana beliau enggan tunduk kepada tekanan yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan Harapan terhadap Umno. – 18 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen