KJ mahu Zahid berundur presiden Umno sekarang


Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa Zahid Hamidi segera melepaskan jawatannya sebagai presiden Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.

KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar mahu Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan presiden Umno sekarang, ketika parti itu kehilangan seorang demi seorang wakil rakyatnya di Parlimen.

Dalam satu tulisan di Twitter, Khairy berkata: “Berundurlah, masanya sudah tiba. (Step aside, sir. It’s time.)”

Khairy mengulas kenyataan Zahid bahawa beliau hanya boleh disingkirkan melalui perhimpunan agung parti.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian, Zahid menegaskan beliau tidak akan tunduk pada mana-mana desakan untuk melepaskan jawatannya.

“Dulu desakan bercuti. Sekarang desakan letak jawatan. Okay… yang boleh melucutkan jawatan saya hanyalah Perhimpunan Agung Umno sahaja.

“Ia mestilah dihadiri oleh dua per tiga perwakilan yang hadir dalam perhimpunan yang lalu,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.

Akhir Jun lalu, Zahid terpilih sebagai presiden Umno selepas menang pemilihan parti mengalahkan Khairy dan seorang lagi pencabar kuatnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Khairy membuat kenyataan ini ketika ada desakan lantang di akar umbi yang mahu Zahid berundur selepas dilihat tidak dapat mengawal parti sehingga menyebabkan wakil rakyatnya keluar Umno.

Ini adalah kenyataan Khairy yang kedua dengan nada sama dalam masa 24 jam. Semalam, juga di Twitter, Khairy menyokong cadangan agar Majlis Tertinggi Umno serta tiga sayap parti mendesak Zahid letak jawatan.

Khairy setuju pemilihan Umno perlu diadakan semula dengan segera kerana hanya ahli Umno yang boleh menyelamatkan Umno.

Dalam beberapa tulisan di Twitter semalam juga Khairy menepis kenyataan bekas presiden Umno Najib Razak bahawa masalah yang dihadapi parti itu sekarang salah kepimpinan semata-mata.

Semalam, Umno kehilangan enam lagi ahli Parlimen yang keluar parti, menjadikan keseluruhan setakat ini 17 wakil rakyat yang sudah sama ada jadi ahli Parlimen bebas atau menyertai parti dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin, antara enam yang keluar Umno semalam, turut memberi amaran akan ada satu lagi gelombang ahli Parlimen Umno keluar parti dalam waktu yang terdekat ini, sekiranya Zahid terus bertahan sebagai presiden. – 15 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen