6 ahli Parlimen Umno sah keluar parti


Keenam-enam mereka memaklumkan keputusan itu dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Umno Annuar Musa hari ini, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight. – Gambar The Malaysian Insight, 14 Disember, 2018.

LIMA lagi ahli Parlimen Umno keluar parti, menjadikan kesemuanya enam wakil Umno di Dewan Rakyat meninggalkan parti itu hari ini.

Lima ahli Parlimen itu ialah Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Latiff Ahmad (Mersing), Shabudin Yahya (Tasek Gelugor), Hamzah Zainuddin (Larut) dan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), selain Ikmal Hisham Abd Aziz (Tanah Merah) yang mengumumkan keluar parti pagi tadi.

Keenam-enam mereka memaklumkan keputusan itu dalam sepucuk surat kepada Setiausaha Agung Umno Annuar Musa, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

“Kami seramai 6 Ahli Parlimen Umno seperti yang dinyatakan (di atas) dengan ini mengisytiharkan keluar parti berkuatkuasa hari ini, 14 Disember 2018,” tulis mereka dalam surat yang ditandatangani bersama itu.

Surat itu disalinkan kepada Speaker Dewan Rakyat.

Shabudin yang dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan surat berkenaan.

Beliau bagaimanapun menafikan akan menyertai mana-mana parti buat masa ini.

“Betul, saya sudah keluar (Umno). Sertai parti mana, itu no comment,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kelmarin, The Malaysian Insight melaporkan seorang bekas menteri berusaha memujuk ahli Parlimen Umno untuk keluar parti, jadi wakil rakyat bebas sebelum kemudiannya menyertai Bersatu.

Dengan tindakan enam ahli Parlimen itu, Umno kini hanya tinggal 37 kerusi di Dewan Rakyat, daripada 54 kerusi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Tindakan mereka ini menjadikan Barisan Nasional sekarang ada 40 kerusi di Dewan Rakyat, dengan dua disandang MIC dan satu MCA.

Dua lagi ahli Parlimen Umno turut disebut-sebut akan meninggalkan parti itu hari ini iaitu Jalaluddin Alias (Jelebu) dan Salim Sharif (Jempol), namun nama mereka tidak tersenarai dalam surat berkenaan.

Kedua-dua bagaimanapun sudah menafikan akan keluar Umno.

Langkah enam ahli Parlimen Umno hari ini menyusul keputusan 13 wakil rakyat termasuk 5 ahli Parlimen dan 21 ketua bahagian Umno di Sabah keluar parti, menyokong kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya dan Warisan di negeri itu.

Tindakan ahli Parlimen Umno keluar parti bermula dengan Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali pada 24 Jun yang diikuti oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tiga hari kemudian.

Tidak sampai seminggu kemudian, pada 1 Julai, bekas ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin keluar parti sehari selepas pemilihan Umno kerana melihat tiada isyarat Umno mahu berubah selepas kalah PRU14.

Bekas menteri Mustapa Mohamed (Jeli) juga keluar Umno pada 18 September disusuli seorang lagi bekas menteri Anifah Aman (Kimanis) sehari kemudian.

Pada 11 Oktober, Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli menyertai Parti Warisan Sabah, sebelum 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian Umno negeri itu keluar parti minggu ini. – 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen