Ahli Parlimen Bukit Gantang keluar Umno 'atas sebab peribadi', kata Annuar


Nabihah Hamid

Ketua Penerangan Umno Annuar Musa berkata pucuk pimpinan Uno menghormati keputusan Syed Abu Husin untuk keluar parti.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2018

PIMPINAN tertinggi Umno sudah mengetahui keputusan ahli Parlimen Bukit Gantang untuk keluar parti hari ini, kata Ketua Penerangannya Annuar Musa.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata Syed Abu Husin Hafiz Syed Abdul Fasal bertindak demikian atas alasan peribadi.

“Sebenarnya kita sudah tahu daripada awal. Ini adalah beberapa orang yang ada sebab peribadi. Tetapi pucuk pimpinan Umno sangat memahami dan kita menghormati apa saja hasrat beliau,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ‘sebab peribadi’ yang dimaksudkan.

“Atas sebab tertentu tak dapat saya bincangkan secara terbuka,” katanya yang bakal merebut jawatan Timbalan Presiden Umno itu.

Syed Husin hari ini mengumumkaan keluar daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) selepas melihat tiada kestabilan dalam parti itu walaupun mereka bekerja keras untuk merampas semula kerusi Parlimen Bukit Gantang daripada PAS pada pilihan raya lalu.

Beliau turut menyatakan mahu menjadi ahli bebas dan tidak mahu menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Ini merupakan pengumuman kedua selepas ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali meninggalkan Umno Ahad lalu atas alasan sakit hati disabotaj akar umbi Umno.

Kini, Umno tinggal 52 Kerusi Parlimen.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad meminta wakil rakyat lain tidak mengikut jejak langkah dan bersabar sehingga pemilihan Umno berlangsung 30 Jun ini.

“Kita dah minta mereka bersabar sehingga 30 haribulan ini, esok lusa saja lagi. Selepas ini, kita tahu siapa presiden kita, baru kita ada gerak kerja.

“Sekarang tak boleh buat sebab semua jawatan belum tentu. Kita nak bangkit lepas dah dapat presiden baru kita tahu hala tuju. Mereka tidak sabar dan tidak tabah menghadapi dugaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Adun Kota Tampan itu bagaimanapun berkata, tindakan dua ahli Parlimen keluar Umno tidak menjejaskan parti.

“Umno Perak tidak terjejas apa-apa. Dua orang sahaja. Kita ada ratus ribu ahli. Takkan kerana dua orang ahli Parlimen keluar, Umno akan mati. Tidak.

“Masing-masing punya alasanlah. Tapi saya masih berbangga ada ratusan ribu ahli Umno di Perak, walau apa yang berlaku kita tetap dengan Umno. Jadi yang mana dapat jawatan jadi calon dah menang, kemudian sudah keluar terpulanglah. Biarlah rakyat menilai mereka,” katanya. – 27 Jun, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen