Ahli Parlimen Labuan keluar Umno


Ahli Parlimen Labuan Rozman Isli kini menyertai Parti Warisan Sabah dan berkata langkah itu diambil demi kepentingan masa depan Labuan. – Gambar Facebook, 11 Oktober, 2018.

AHLI Parlimen Labuan Rozman Isli kini menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dan berkata langkah itu diambil demi kepentingan masa depan Labuan.

Tidak menyebut tentang keluar Umno, tetapi Rozman berkata penyertaannya ke dalam Warisan akan menyebabkan beliau dipecat daripada Umno.

“Perubahan besar kepada landskap politik negara selepas PRU14 memberi peluang kepada Labuan untuk memperbaiki sistem pentadbiran pada peringkat struktur yang akan membolehkan ia keluar dari situasi sekarang di mana ianya ditadbir dari jauh di Putrajaya.

“Kekuatannya sebagai sebahagian dari Pulau Borneo itu sudah berkurang. Pendeknya Labuan memerlukan empowerment yang cukup luas bagi membolehkan ia bergerak lebih pantas dan rapat dengan jiran berdekatan,” katanya.

Rozman berkata demikian ketika pertemuannya dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking yang dalam lawatan kerja sehari ke Labuan hari ini.

Dengan Rozman keluar Umno, kini tinggal 48 ahli Parlimen parti itu di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Umno keluar parti termasuk dua bekas menteri Kabinet dalam pentadbiran Najib Razak sebelum ini iaitu Ahli Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis Anifah Aman. Mereka keluar dalam tempoh tidak sampai 24 pada 18 dan 19 September lepas.

Pada 1 Julai lalu, bekas ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin keluar parti dengan alasan tidak nampak isyarat Umno mahu berubah selepas kalah PRU14. Beliau keluar sehari selepas pemilihan parti yang mengangkat Zahid sebagai presiden.

Sebelum itu juga, Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali keluar Umno pada 24 Jun disusuli Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tiga hari kemudian.

Pada Perhimpunan Agung Umno 2018 yang baru lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu akan mengambil tindakan mahkamah terhadap wakil rakyatnya yang keluar parti.

Peguam bagaimanapun berpendapat kenyataan Zahid itu hanya amaran kosong kerana mahkamah pernah memutuskan kerusi yang dimenangi oleh wakil rakyat dalam pilihan raya bukan milik parti politik tetapi hak orang yang bertanding dan memenanginya.

Rozman berkata hubungan dengan Sabah harus lebih rapat dan jitu, maka adalah wajar untuk pembaharuan ini bermula dengan ahli Parlimen Labuan datang dari sebuah parti yang berpusat di Sabah.

“Keadaan ekonomi semasa dan kedudukan Labuan dalam Malaysia yang unik berbanding dengan kawasan-kawasan parlimen yang lain memerlukan saya membuat keputusan ini.

“Saya perlu memenuhi harapan rakyat yang rata-ratanya terkesan dengan kejatuhan industri minyak dan gas di Labuan,” katanya.

Selain itu katanya sistem demokrasi berparlimen negara masih muda dan belum matang dan tidak hairanlah kita masih bergelut untuk mencari formula yang terbaik.

“Pada tahap ini, perpindahan parti oleh pemimpin-pemimpin politik dan pertukaran sekutu di antara parti-parti adalah sebahagian daripada proses itu,” katanya. – 11 Oktober, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen