Umno saman wakil rakyat keluar parti


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli yang keluar parti akan perlu mengosongan kerusi yang dimenangi pada PRU14 dan membayar ganti rugi semasa berucap di PWTC malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 September, 2018.

UMNO mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyatnya yang keluar parti, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau mendedahkan Umno sudah menghantar writ saman kepada mereka menuntut mereka mengosongkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selain membayar balik ganti rugi kepada parti.

Tegas Zahid, walaupun sukar untuk menyekat sesiapa daripada keluar parti, tindakan itu diambil bagi menghormati kehendak ahli-ahli Umno yang merasakan mereka telah dikhianati.

“Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Mereka tidak lagi mempunyai asas moral untuk menjadi wakil rakyat. Kerusi itu milik Umno, kerusi itu milik penyokong BN,” katanya dalam ucapan dasar presiden membuka Perhimpunan Agung Umno 2018 di Kuala Lumpur malam ini.

Setakat ini, lima ahli Parlimen Umno keluar parti termasuk dua bekas menteri Kabinet dalam pentadbiran Najib Razak sebelum ini iaitu Ahli Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Anifah Aman. Mereka keluar Umno dalam masa tidak sampai 24 jam berselang pada 18 dan 19 September lepas.

Sebelum itu, pada 1 Julai lalu, bekas ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin keluar parti dengan alasan tidak nampak isyarat Umno mahu berubah selepas kalah PRU14.

Beliau keluar sehari selepas pemilihan parti yang mengangkat Zahid sebagai presiden.

Sebelum itu juga, Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali keluar Umno pada 24 Jun disusuli Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tiga hari kemudian.

Untuk selepas ini, menurut Zahid, semua wakil rakyat Umno perlu menandatangani akujanji tidak keluar parti.

Sebahagian perwakilan Umno yang hadir di Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung di PWTC malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 29 September, 2018.

“Jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas atau pun menyertai parti lain, maka status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik.

“Kita akan tuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi,” kata ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Sementara itu, untuk membina keyakinan dan kepercayaan rakyat, Zahid berkata Umno akan menstruktur semula Lembaga Displin parti untuk diberi lebih kuasa dan bergerak sebagai sebuah badan bebas.

Jelasnya, ketaatan dan kesetiaan kepada kepemimpinan, dan bukannya kepada parti telah membentuk budaya “warlord” yang menjadi punca utama masalah politik wang.

“Sebagai presiden, saya komited menjadikan Umno sebagai sebuah parti sifar rasuah. Politik wang boleh menghancurkan parti dan menyebabkan ahli salah memilih pemimpin.

“Peranan lembaga ini akan diangkat menjadi lebih berwibawa dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan.

“Lembaga ini akan dianggotai oleh ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu,” ujarnya.

Zahid juga berkata perlembagaan Umno akan dipinda sebagai antara langkah mengukuhkan parti, antaranya untuk mengurangkan had umur ahli kepada 16 tahun, selari dengan usaha kerajaan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Pindaan itu juga akan mengehadkan tempoh jawatan presiden Umno kepada dua penggal sahaja, katanya.

Umno juga akan memberi kuasa autonomi kepada Umno Sabah, tambahnya, yang merujuk pada tadbir urusnya sendiri.

“Mesyuarat agung luar biasa akan diadakan bagi memutuskan perkara ini dan perkara-perkara lain yang memerlukan pindaan perlembagaan Umno,” kata Zahid. – 29 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen