Umno liat berubah, bekas ketua Puteri keluar parti 


Bekas ketua Puteri Umno Mas menjelaskan pemilihan Umno untuk menentukan hala tuju baru parti semalam menunjukkan sikap sebenar ahli-ahli parti itu yang masih dalam sindrom penafian.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Julai, 2018

BEKAS Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin keluar Umno, sehari selepas pemilihan parti itu yang beliau sifatkan tidak membayangkan isyarat parti itu mahu berubah selepas kalah pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Tindakan Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menyebabkan Umno kini tinggal 51 wakil di Dewan Rakyat.

Mas berkata, beliau akan kekal wakil rakyat bebas di Parlimen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mas menjelaskan pemilihan Umno untuk menentukan hala tuju baru parti semalam menunjukkan sikap sebenar ahli-ahli parti itu yang masih dalam sindrom penafian.

“Harapan untuk melihat mereka memilih sekurang-kurangnya 70 peratus muka baru yang berwibawa di pelbagai peringkat tidak kesampaian,” katanya dalam kenyataan mengumumkan keluar Umno hari ini.

Mas, yang juga bekas timbalan menteri dalam kerajaan Najib Razak, berkata, kepimpinan Umno sekarang masih enggan menerima kenyataan rakyat sudah menolak parti Melayu itu, sebaliknya masih beranggapan Umno mangsa kebencian rakyat terhadap bekas perdana menteri.

“Skandal 1MDB telah membuatkan rakyat Malaysia mempersendakan Umno.

“Pemulihan apakah ini, kalau virus masih dibiar berleluasa dan ubat terlalu pahit untuk ditelan?

“Ikhlas saya katakan Umno kebelakangan ini telah tergelincir dari landasan asal hingga ditolak oleh bangsa Melayu sendiri.”

Mas berharap sebagai wakil rakyat bebas beliau akan dapat memainkan peranan dengan lebih berkesan tanpa terikat dengan parti.

“Berlandaskan latar belakang saya sebagai bekas peguam, saya berharap untuk membuat yang terbaik bagi rakyat Malaysia untuk memastikan badan eksekutif di pantau oleh Parlimen yang efektif,” katanya.

Pada akhir Mei lepas, sebelum pencalonan pemilihan Umno dibuka, Mas mengumumkan tidak bertanding sebarang jawatan bagi membuka jalan kepada pemimpin lain membawa Umno berubah.

Beliau ketika itu berkata, mahu menumpukan perhatian kepada kerja-kerja memberi khidmat kepada rakyat yang memilihnya jadi wakil mereka di Parlimen.

Mas adalah ahli Parlimen Umno yang ketiga keluar parti itu dalam masa seminggu selepas Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali pada 24 Jun disusuli Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tiga hari lepas. 

Ketika keluar Umno, Dr Noor Azmi turut mengumumkan hasrat mahu masuk Bersatu.– 1 Julai, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen