Mas Ermieyati umum tidak bertanding pemilihan Umno


The Malaysian Insight

KETUA Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti itu yang akan berlangsung sebelum 30 Jun ini, bagi membuka jalan kepada pemimpin lain membawa Umno berubah.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, tumpuannya sekarang ialah memberi khidmat kepada rakyat yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili mereka di Parlimen.

“Oleh yang demikian, saya mengambil keputusan untuk tidak bertanding apa-apa jawatan parti di semua peringkat bagi memberi ruang kepada pemimpin lain untuk memimpin Umno ke arah perubahan total,” katanya melalui kenyataan ringkas di Twitter.

Bekas Timbalan Menteri Pelancongan itu juga berharap ramai lagi pemimpin Umno akan memberi ruang kepada generasi baru memimpin parti dan sayapnya.

Mas Ermieyati, 41, bagaimanapun memang tidak akan mempertahankan kedudukannya sebagai ketua sayap Puteri kerana melebih had umur layak memegang jawatan. Perlembagaan parti menetapkan had umur 40 tahun bagi jawatan berkenaan.

Umno mempertandingkan semua jawatan dalam parti dan sayap di semua peringkat, dengan pencalonannya dibuka secara dalam talian bermula 1 Jun sebelum ditutup pada pukul 5 petang 17 Jun.

Pemilihan jawatan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri Umno akan berlangsung pada 23 Jun sementara jawatan Majlis Tertinggi Umno termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden seminggu kemudian pada 30 Jun.

Mas Ermiyati mengetuai sayap Puteri sejak Oktober 2013, mengambil alih daripada bekas ketuanya, Rosnah Abdul Rashid Shirlin.– 26 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen