Ugutan Umno nak saman wakil rakyat hanya amaran kosong, kata peguam


Chan Kok Leong

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata 1993 dalam kes Nordin Salleh melawan dewan undangan negeri Kelantan, mahkamah menegaskan kerusi berkenaan bukan milik mana-mana parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2018.

UGUTAN Umno untuk menyaman wakil rakyat yang keluar parti itu tidak ada tempat di mahkamah, kerana Mahkamah Persekutuan memutuskan kerusi berkenaan milik wakilnya yang dipilih, kata peguam.

Peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata keputusan mahkamah tinggi pada 1993 dalam kes Nordin Salleh melawan dewan undangan negeri Kelantan, menegaskan bahawa kerusi berkenaan bukan milik mana-mana parti.

“Walaupun kita hendak percaya kerusi itu milik parti, malangnya ia bukan begitu di bawah undang-undang dan perlembagaan Malaysia,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ia milik individu, dan apabila individu berkenaan buat sesuatu seperti belot, persoalan tentang moral, etika dan kepercayaan akan timbul, dan itu terpulang kepada pengundi untuk buat keputusan, dan parti tidak berhak kata ‘ia milik kami’.”

Beliau merujuk kepada kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung parti itu hujung minggu lalu, berkata parti akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang keluar parti dan menjadi ahli Parlimen dan Adun bebas.

Zahid memberitahu perwakilan bahawa parti akan menghantar writ saman kepada individu berkenaan, mendesak mereka membayar kepada parti dan mengosongkan kerusi masing-masing, yang dimenangi atas tiket Umno pada PRU14.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada perhimpunan agung berkata parti akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang keluar parti dan menjadi ahli Parlimen dan Adun bebas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2018.

Dalam kes Nordin, bekas Adun Sg Pinang itu mencabar keperlembagaan pindaan piagam Kelantan 1991, yang menggugurkan kelayakan mana-mana Adun yang keluar parti ketika menang kerusi berkenaan.

Mahkamah Tinggi dan kemudiannya Mahkamah Persekutuan kemudian menyatakan tindakan kerajaan negeri tidak berperlembagaan kerana ia melanggar jaminan kebebasan persatuan seperti diperuntukkan oleh Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Haniff berkata Umno mungkin boleh mengambil tindakan undang-undang jika ada kontrak ditandatangani antara parti dan wakil rakyat, dan jika jumlah yang didakwa dibelanjakan oleh parti untuk individu terbabit tidak melebihi apa yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya untuk perbelanjaan kempen.

“Setiap parti memang akan memberi amaran kepada ahlinya bahawa jika anda menang, anda tidak boleh belot.

“Itu sebabnya sebelum pilihan raya, ada cadangan dalam Pakatan Harapan yang pada masa itu sebagai pembangkang, untuk mewujudkan kontrak bahawa mereka yang keluar parti akan membayar kos pilihan raya.” – 1 Oktober, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen