Wakil rakyat Umno Sabah keluar parti beramai-ramai


Jason Santos

Pemimpin Umno Sabah mengumumkan mereka keluar parti di sebuah hotel di Kota Kinabalu hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 12 Disember, 2018.

DUA penyokong kuat Najib Razak merupakan antara pemimpin perhubungan negeri serta wakil rakyat yang mengumumkan keluar parti beramai-ramai hari ini.

Pandikar Amin Mulia dan Salleh Said Keruak akan meninggalkan parti itu, selain 11 orang Adun dan 21 ketua bahagian, kata ketua perhubungan Umno negeri Hajiji Mohd Noor.

Hajiji yang juga ahli Parlimen Sulaman berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang kepercayaan terhadap pemimpin Umno di peringkat nasional yang tiada hala tuju.

“Umno Sabah mempunyai keahlian terbesar di negara ini dengan angka lebih setengah juta.

“Bukan berdendam dengan Umno, hanya sedikit kekecewaan tetapi keputusan kami dibuat selepas mengambil kira kedudukan Umno.

“Berdasarkan itu, kami memutuskan ini masanya untuk mencorakkan masa depan sendiri,” katanya

Beliau berkata wakil rakyat bebas akan kekal sebagai satu kumpulan dan sedang berunding dengan pembangkang, Gabungan Bersatu Sabah.

“Kami akan kekal bebas sehingga kami temui parti baharu yang sesuai,” kata Hajiji.

Hajiji juga menyatakan kesetiaan kepada kerajaan Pakatan Harapan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan negeri Sabah yang diketuai Warisan dan presidennya Mohd Shafie Apdal.

Rungutan mengenai hala tuju Umno itu mula kedengaran selepas Ahmad Zahid Hamidi menang jawatan presiden dalam pemilihan parti pada Julai.

Keputusan hari ini mengurangkan jumlah ahli Parlimen Umno kepada 43 orang dan hanya satu wakil tunggal dalam Dun Sabah.

Dua ahli Parlimen Umno, Anifah Aman (Kimanis) dan ahli Rozman Isli (Labuan) bertindak keluar parti masing-masing pada September dan Oktober lalu.

Anak Musa Aman, Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez sehingga kini masih belum mengangkat sumpah di Dewan Rakyat dan mempunyai masa sehingga 15 Januari untuk berbuat demikian.

Empat ahli Parlimen dari Sabah yang keluar parti itu adalah Abd Rahim Bakri (Kudat), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran) dan Zakaria Mohd Edris (Libaran). – 12 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen