Ahli Parlimen Jelebu, Jempol nafi akan keluar Umno


DUA ahli Parlimen dari Negeri Sembilan menafikan akan meninggalkan Umno dalam masa terdekat seperti mana yang tular di media sosial.

Kedua-dua mereka, Ahli Parlimen Jelebu Jalaluddin Alias dan Ahli Parlimen Jempol Mohd Salim Mohd Sharif sebaliknya, berpendirian untuk kekal berjuang bersama parti yang diwakili mereka.

“Tidak benar dakwaan itu. Saya masih lagi dengan Umno. Ada pihak yang tidak senang dengan perpaduan Umno dan hampir berjaya untuk meruntuhkannya.

“Saya harap anggota Parlimen dan pemimpin Umno yang berbaki ini terus istiqomah,” kata Jalaluddin yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua Umno Bahagian Jelebu menerusi aplikasi Whatsapp kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Salim yang juga ketua Umno Bahagian Jempol ketika dihubungi pula berkata terpulang kepada pihak tertentu untuk membuat andaian kononnya beliau akan keluar daripada Umno.

“Tidak betul berita berkenaan. Itu hak masing-masing untuk membuat andaian,” katanya ringkas.

Hari ini tersebar senarai enam ahli Parlimen Umno termasuk Jalaluddin dan Mohd Salim serta Ahli Parlimen Tanah Merah Ikmal Hisham Abdul Aziz yang akan meninggalkan parti. 

Ikmal Hisham yang juga ketua Umno Bahagian Tanah Merah bagaimana pun telah mengumumkan keluar Umno dan menjadi ahli Bebas berkuat kuasa serta-merta, hari ini. – Bernama, 14 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen