Mustapa Mohamed keluar Umno


Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mustapa Mohamaed keluar Umno hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

MUSTAPA Mohamed hari ini mengumumkan keluar Umno kerana hala tuju parti terbesar orang Melayu itu sudah tidak lagi selari dengan jiwanya.

Katanya, Umno juga tidak menunjukkan sebarang tanda mahu memperbaiki keadaan parti, selepas ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Umno setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan melalui Facebook.

Mustapa, yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), adalah ahli parlimen Umno yang keempat keluar parti itu sejak selepas (PRU14).

Umno kini mempunyai 50 wakil di Dewan Rakyat.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut sama ada beliau akan menyertai mana-mana parti politik dalam Pakatan Harapan (PH).

Mustapa sebaliknya membayangkan beliau akan terus memberi idea untuk Malaysia yang lebih baik. Beliau juga berharap akan wujud budaya politik “lebih matang dan inklusif”, yang mengutamakan tadbir urus dan integriti.

Mustapa adalah Ahli Parlimen Jeli sejak kawasan parlimen itu diwujudkan pada 1995, kalah hanya sekali pada 1999, kesan peralihan undi Melayu kepada pembangkang dalam pilihan raya umum ke-10 itu.

Mas Ermieyati Samsudin merupakan ahli Parlimen Umno yang pertama keluar parti itu pada 1 Julai lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

Pada PRU14, Mustapa mengalahkan calon PAS, Mohamad Hamid dan calon Pakatan, Azran Deraman dengan majoriti 6,647 undi.

Beliau juga adalah wakil rakyat kerusi negeri Air Lanas dalam kawasan Parlimen Jeli, kerusi yang turut disandang beliau pada 2004 dan 2013.

Menurut Mustapa, beliau tidak nampak ada tanda-tanda rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama akan kembali menyokong Umno dan BN.

“Berdasarkan kepada beberapa perkembangan mutakhir ini, saya berpandangan bahawa usaha-usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar,” katanya, dipercayai merujuk kepada usaha Umno berbaik-baik dengan PAS.

“Untuk menjadi relevan dalam dinamika politik nasional hari ini, UMNO selaku peneraju BN tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata.”

Sabtu lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengetuai barisan pimpinan kanan parti itu hadir pada pembukaan Muktamar PAS ke-64 di Terengganu, langkah yang disifatkan banyak pihak peralihan sejarah dua parti yang bersaing di kawasan Melayu dalam setiap pilihan raya.

Mustapa menjelaskan, sebagai seorang yang berpegang pada politik inklusif, sederhana dan berhaluan tengah, beliau melihat Umno mesti kekal memperjuangkan Islam dan Bumiputera tetapi tidak boleh mengetepikan kaum dan agama lain.

Usaha berbaik antara Umno dan PAS dipercayai mempengaruhi keputusan Mustapa Mohamed untuk keluar dari parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 September, 2018.

“Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk,” katanya yang menang undi terbanyak pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pada 30 Jun lepas.

“Namun pada pandangan saya, hala tuju yang diambil UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini dan tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti telah bermula,” tambahnya.

Sebelum ini, pada 1 Julai lalu, bekas ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin keluar parti sehari kerana melihat tiada isyarat Umno mahu berubah selepas kalah PRU14. Beliau keluar sehari selepas pemilihan parti yang mengangkat Zahid sebagai presiden.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bagan Serai Dr Noor Azmi Ghazali juga keluar Umno pada 24 Jun disusuli Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tiga hari kemudian. – 18 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Dah kalah baru sedar haha

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Leng Kapri As Saribasi · Ulasan

  • Hidup Tok Pa! Menjalani perjuangan untuk semua warganegara!

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Scm wong · Ulasan