Pemuda Umno Ampang mahu Zahid undur sebelum akhir tahun


Desakan sayap di bahagian itu adalah antara seruan lantang dan tekanan terbuka terhadap Ahmad Zahid Hamidi selepas terdedah gerakan beliau mahu membawa Umno bekerjasama dengan PKR dan DAP, dua parti dalam Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.

AHMAD Zahid Hamidi perlu letak jawatan presiden Umno sebelum akhir bulan ini, kata sayap Pemuda Umno Bahagian Ampang, yang memutuskan ketetapan itu dalam mesyuaratnya semalam.

Desakan sayap di bahagian itu adalah antara seruan lantang dan tekanan terbuka terhadap Zahid selepas terdedah gerakan beliau mahu membawa Umno bekerjasama dengan PKR dan DAP, dua parti dalam Pakatan Harapan.

Sebuah lagi sayap bahagian di Selangor iaitu Pemuda Umno Kota Raja juga membuat desakan sama dalam mesyuaratnya pada Rabu lepas.

“Kami berharap agar presiden akan meletakkan kepentingan parti sebagai agenda utama dengan meletakkan jawatan sebelum akhir tahun ini. Tahun baharu, presiden baharu dan hala tuju baharu,” kata Ketua Pemuda Umno Bahagian Ampang Zulkifli Rajalie dalam satu kenyataan media.

“Pemuda Umno Ampang akan terus menggerakkan langkah sehingga presiden melepaskan jawatan demi menjaga maruah parti Umno yang kita sanjungi demi agama Islam dan bangsa Melayu,” tambahnya.

Zulkifli adalah pemimpin akar umbi yang berhujah mempersoalkan idea kerjasama Umno dengan DAP semasa sesi dialog dengan Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz, dalam rakaman video yang tular beberapa hari lalu.

Nazri dalam wawancara dengan The Malaysian Insight mempertahankan cadangan itu sebagai sesuatu yang masuk akal demi kelangsungan masa depan Umno, yang berdepan ancaman dibatalkan pendaftarannya.

Nazri yang sedang menjelajah bertemu pimpinan Umno di peringkat bahagian menjelaskan cadangan itu atas mandat Zahid.

Pemimpin akar umbi mempersoalkan idea kerjasama Umno dengan DAP semasa sesi dialog dengan Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz, dalam rakaman video yang tular beberapa hari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.

Menurut Zulkifli, Pemuda Umno telah memberi kepercayaan kepada Zahid sebagai pemangku dan kemudiannya mandat sebagai presiden yang secara langsung menjadi Pengerusi BN.

“Tetapi dalam masa 6 bulan kita telah kehilangan Sarawak, separuh Sabah, dan akan hilang lagi ahli-ahli Parlimen dari parti Umno. Zahid sudah hilang pengaruh dan gagal menguasai parti,” katanya.

Sementara itu, Pemuda Umno Kota Raja dalam mesyuaratnya Rabu lalu mendesak supaya Majlis Penasihat Presiden dihidupkan segera kerana Zahid jelas telah gagal untuk mengawal pimpinan parti dan ahli Parlimen Umno keluar daripada parti.

“Barisan pimpinan Pemuda Kota Raja telah bermesyuarat dan mengambil keputusan untuk mendesak presiden menghidupkan Majlis Penasihat Presiden dengan kadar segera supaya mereka yang dilantik boleh bersidang secepat mungkin,” katanya.

Menurut kenyataan pergerakan itu, keghairahan Nazri mengadakan jelajah untuk memujuk pemimpin akar umbi di bahagian menyokong gabungan bersama ‘pasukan Anwar Ibrahim’ menyebabkan lebih ramai pemimpin dan ahli Umno keluar parti.

“Kesibukan SUA BN yang dilantik presiden sehingga gagal melakukan apa-apa di Sabah memberi isyarat Zahid tiada lagi kredibiliti untuk terus memimpin Umno dan Barisan Nasional,” ujarnya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Malaysia Wan Muhammad Azri Wan Deris ketika dihubungi The Malaysian Insight mendesak Zahid berundur secara terhormat bagi mengelakkan Umno terus berpecah.

“Bila ada mesyuarat khas cawangan dan bahagian, bukan semua akan sokong 100%, parti akan berpecah lagi. Untuk mengelakkan perkara ini, Presiden perlu ambil tanggungjawab supaya dia sendiri meletak jawatan,” katanya.

Menurut Azri, sejak Zahid menjadi Presiden Umno, beliau tidak turun berjumpa dengan akar umbi sebaliknya jelajah presiden ke negeri-negeri hanya untuk menjelaskan pertuduhan jenayah yang beliau hadapi di mahkamah.

Zahid kini berdepan 46 tuduhan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa dan mengubah wang haram.

Malah kata Azri, Zahid juga tidak mengambil sebarang tindakan ketika ahli-ahli Parlimen Umno cuba ‘dibeli’ oleh parti lain dan membiarkan sahaja mereka keluar parti.

“Kalau ahli Parlimen pun presiden tidak boleh kawal, macam mana dengan ketua-ketua Umno Bahagian? Lagi sukar hendak kawal.

“Kalau kita ingat balik pada tahun 2008, Anwar hendak culik ahli Parlimen BN, walaupun kita kerajaan ada kekuatan, usaha itu ada. Najib berusaha mengepung ahli Parlimen BN supaya tidak lompat kepada Anwar dan berjaya.

“Walaupun kita pembangkang pada hari ini, jika presiden membuat engagement betul-betul dengan ahli Parlimen, tiada mereka lari secara besar-besaran,” katanya yang lebih dikenali sebagai Papagomo. – 15 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen