Nazri Aziz jelaskan pelan kerjasama dengan PKR, DAP


Sheridan Mahavera

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Mohamed Nazri Aziz percaya, kerjasama itulah adalah satu-satunya cara untuk Umno terus bernafas sehingga PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.

MOHAMED Nazri Aziz tidak sedikit pun kesal dengan cadangan Umno mahu membentuk pakatan dengan PKR dan DAP demi kelangsungan masa depannya walaupun ahli-ahli parti itu tidak puas hati dengan idea tersebut.

Setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu percaya, itulah satu-satunya cara untuk Umno terus bernafas sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Umno tidak boleh menjadi sebuah parti pembangkang yang kuat seperti didesak oleh sesetengah ahli Umno kerana ada kemungkinan besar ia diharamkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Nazri kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara.

“Isu utamanya ialah kita berdepan dengan pengharaman. Kita tidak boleh jadi parti pembangkang yang berkesan dengan adanya ancaman pengharaman itu,” kata Nazri.

“Kita perlu berdepan dengan realiti bahawa kita sekarang lemah. Itu sebabnya kita perlu berlembut dengan kerajaan. Apa pun yang kita buat, kita kena pastikan parti ini tidak dibatalkan pendaftarannya,” tambah beliau.

Nazri menambah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PH mahu Umno dibubarkan sebelum gabungan pemerintah itu dapat menerima ahli Umno.

Pelan bekerjasama dengan PKR dan DAP melibatkan usaha berunding dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang bakal menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam masa dua tahun ini.

“Anwar tidak janji apa-apa. Beliau cuma kata beliau belum lagi perdana menteri. Jadi, kita kena pergi jumpa beliau semula apabila jadi perdana menteri nanti.

“Sementara itu, keadaannya kekal seperti sekarang dan kita cuba yang terbaik untuk tidak dibatalkan pendaftaran.”

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PH mahu Umno dibubarkan sebelum gabungan pemerintah itu dapat menerima ahli Umno. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.

Nazri sedang menjelajah bertemu pimpinan Umno di peringkat bahagian menjelaskan cadangan itu, yang katanya atas mandat presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

“Sudah tentu Zahid tahu. Saya setiausaha agung (BN) dan beliau pengerusinya,” kata Nazri.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas penafian oleh Setiausaha Eksekutif BN, Ahmad Masrizal Muhammad yang berkata Zahid tidak pernah mengadakan rundingan politik dengan DAP.

Syarat tidak masuk akal

Cadangan itu, jelas Nazri, akan membolehkan Umno bersama kerajaan PH sehingga PRU15.

Sebagai balasan, parti itu tidak akan diharamkan, kerajaan akan menghentikan pendakwaan terhadap pemimpin Umno serta menyediakan peruntukan pembangunan kepada wakil rakyatnya.

Umno juga tidak akan menuntut sebarang kerusi Kabinet mahupun jawatan menteri besar atau ketua menteri.

Bagaimanapun, ahli Umno akan mendapat tempat untuk dilantik sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan jawatankuasa kampung.

“Ahli akar umbi kita sudah biasa dapat peruntukan di peringkat kampung. Susah bagi mereka untuk buat program tanpa pegang jawatan,” jelasnya.

Nazri mengaku beliau dan pemimpin kanan Umno sudah bertemu Dr Mahathir, yang juga pengerusi Bersatu, berbincang bagaimana Umno boleh menyertai kerajaan.

“Tetapi syarat Dr Mahathir tidak boleh nak diterima. Beliau kata Umno mesti dibubarkan dan kami semua masuk Bersatu. Mana boleh buat macam itu pada Umno.

“Jadi, pilihan yang ada ialah jumpa Anwar. Tetapi Anwar kata beliau belum jadi PM lagi. Jadi, kita kena tunggu.”

Pelan kerjasama Umno dengan PKR dan DAP melibatkan usaha berunding dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang bakal menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dalam masa dua tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Disember, 2018.

Jangan sentimental

Nazri berkata beliau sedar idea bekerjasama dengan DAP pantang bagi banyak ahli Umno yang selama ini diasuh untuk melihat parti pelbagai kaum diketuai kaum Cina itu sebagai ancaman kepada Melayu dan Islam.

Ahli Umno lebih selesa parti bekerjasama dengan PAS kerana ideologi yang sama mempertahankan ketuanan Melayu Islam di negara ini.

Ini ternampak dalam kerjasama dua parti itu semasa rapat umum raksasa membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember lepas.

Tetapi Nazri berkata silap untuk Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS dalam soal pilihan raya kerana kedua-dua parti akan berebut undi kelompok Melayu-Islam yang sama.

“Kita tidak boleh sentimental dengan PAS. Akhirnya, kita akan bersaing dengan mereka. Realitinya, DAP dan PKR ada dalam kerajaan dan kita perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk mengelak daripada dibatalkan pendaftaran.

“Suatu masa dulu, Dr Mahathir ajar kita untuk benci DAP. Tetapi sekarang dia kerjasama dengan DAP. Begitu juga dengan Anwar. Tak ada yang mustahil.” – 15 Disember, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen