UMNO mesti menghentikan dengan segera apa saja rundingan dengan mana-mana parti politik untuk membentuk kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, kata sayap pemudanya.
Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan pemimpin yang membuat rundingan “pintu belakang” baik dengan Dr Mahathir Mohamad atau Anwar Ibrahim hanya akan menyebabkan parti berpecah dengan wakil rakyat dan ahli di akar umbi keluar parti.
“Umno tidak perlu menjual maruahnya dengan mengambil jalan pintas dan tergesa-gesa untuk kembali berkuasa melalui pintu belakang.
“Sebarang usaha segelintir untuk berunding sama ada dengan proksi Dr Mahathir mahupun Anwar Ibrahim harus segera dihentikan.
“Selagi wujud usaha sebegini, selagi itulah Umno dilihat tiada hala-tuju dan bakal berpecah dengan lebih parah,” katanya dalam satu kenyataan.
Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz dilaporkan sedang mengadakan jelajah bertemu dengan pimpinan Umno di peringkat bahagian bagi mendapatkan sokongan mendukung Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8.
Maklumat ini didedahkan kepada The Malaysian Insight oleh lima sumber yang hadir dalam pertemuan tertutup bersama Nazri sejak minggu lalu.
Dalam pertemuan itu, Nazri yang mendakwa mendapat mandat presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menerangkan strategi Umno menyokong Anwar dan membentuk kerajaan baharu bersama PKR dan DAP, kata sumber.
Menurut Asyraf, Umno tidak boleh mengambil jalan pintas untuk tergesa-gesa kembali berkuasa kerana kesannya nanti parti akan dihukum lebih teruk oleh rakyat dalam PRU15.
“Lebih membimbangkan sekiranya berjaya sekalipun perundingan dengan mana-mana pihak, Umno akan dihukum lebih dahsyat oleh rakyat dalam PRU akan datang kerana dilihat tidak berprinsip dan Umno dinilai sebagai parti bermatlamatkan kuasa semata-mata,” katanya.
Tambah Asyraf, Umno perlu fokus terhadap usaha pengislahan dan pemerkasaan parti untuk menjadi pembangkang berwibawa demi rakyat dan sebagai agen ‘semak dan imbang’ yang berkesan kepada kerajaan.
“Ini bermakna Umno harus bermula dengan proses muhasabah dengan menginsafi segala kesilapan dan salah laku kita terdahulu sekaligus memohon maaf kepada rakyat atas segala keterlanjuran.
“Mungkin ada baiknya untuk Umno belajar daripada daya tahan PAS yang kekal utuh dengan prinsip perjuangan walaupun sudah lebih 60 tahun menjadi pembangkang,” ujarnya.
Minggu ini, 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian Umno di Sabah keluar parti untuk menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan di persekutuan dan negeri.
Tindakan Umno Sabah ini adalah kemuncak langkah pemimpin Umno meninggalkan parti selepas enam ahli Parlimennya termasuk dua bekas menteri persekutuan dalam pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini. – 14 Disember, 2018.
Komen