UMNO sedang berusaha mendapatkan sokongan ahli-ahlinya di akar umbi untuk membentuk sebuah kerajaan campuran bersama PKR dan DAP, kata beberapa sumber parti, ketika ada gerakan lain cuba memujuk ahli Parlimennya keluar parti dan menyertai Bersatu.
The Malaysian Insight dimaklumkan Setiausaha Agung Barisan Nasional Nazri Aziz sedang mengadakan jelajah bertemu dengan pimpinan Umno di peringkat bahagian bagi mendapatkan sokongan mendukung Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-8.
Maklumat ini didedahkan kepada The Malaysian Insight oleh lima sumber yang hadir dalam pertemuan tertutup bersama Nazri sejak minggu lalu.
Dalam pertemuan itu, Nazri yang mendakwa mendapat mandat presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menerangkan strategi Umno menyokong Anwar dan membentuk kerajaan baharu bersama PKR dan DAP, kata sumber.
Menurut sumber, Nazri menjelaskan strategi ini langkah pilihan yang ada selepas rundingan dengan dengan Dr Mahathir Mohamad gagal kerana pengerusi Bersatu itu mahu Umno dibubarkan.
“Nazri kata rundingan dengan Dr. Mahathir dah gagal. Alternatif yang tinggal sekarang, Umno mengadakan perbincangan dengan Anwar supaya dapat segera menjadi sebahagian daripada kerajaan tanpa perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.
“Kononnya Umno tidak akan dapat bertahan lama sekiranya kekal sebagai pembangkang,” kata sumber.
Pertemuan itu setakat ini melibatkan Umno Selangor, berlangsung ketika Umno menonjolkan naratif ia bersama PAS untuk membentuk suara Melayu yang lebih kuat dalam landskap baharu politik selepas pilihan raya umum ke-14.

Dua parti Melayu itu minggu lalu menyertai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Kuala Lumpur.
Dalam satu sesi soal jawab, Nazri menjelaskan kerjasama Umno dengan DAP tidak mustahil dan akan dapat diterima oleh orang Melayu, sama seperti mereka menerima kerjasama Bersatu, parti yang diasaskan Dr Mahathir iaitu bekas presiden Umno sendiri, dengan DAP dalam pilihan raya yang lalu.
“Ini hakikat. Kalau kita fikir ramai (orang Melayu) yang tidak bersetuju, lebih ramai lagi Melayu yang bersetuju dengan Mahathir. Mahathir yang ajar kita kerjasama dengan DAP,” kata Nazri, dalam rakaman ucapannya yang dilihat The Malaysian Insight.
Kerjasama Umno dengan PKR dan DAP itu bagaimanapun bersyarat, tambah sumber.
Antara syaratnya yang difahamkan telah dipersetujui Anwar ialah memastikan Umno terus beroperasi, menjamin peruntukan kewangan kepada ahli Parlimen Umno dan tiada siasatan rasuah terhadap pemimpin-pemimpin Umno.
Umno juga tidak akan menuntut sebarang kerusi kabinet mahupun jawatan menteri besar atau ketua menteri, tambah sumber.
Sebagai ganti, Umno hanya akan dapat kuasa kecil di negeri dan kawasan parlimen seperti jawatan ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan juga ketua kampung.
“Nazri maklumkan gabungan ini hanya bersifat sementara untuk survival Umno sementara menunggu PRU15,” kata sumber.
Menurut sumber lagi, pada sesi penerangan itu, Nazri memaklumkan gabungan kerajaan baharu itu akan turut melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).
GPS dibentuk pada Jun lalu selepas kerajaan Sarawak keluar BN untuk membentuk gabungan parti tempatan terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP).
Meskipun GPS mengumumkan akan bekerjasama dengan Putrajaya terutamanya dalam hal berkaitan Sarawak, ia mahu kekal sebagai pembangkang dan tidak menyertai Pakatan Harapan di peringkat persekutuan.
Awal bulan ini, Dr Mahathir melancarkan penubuhan Bersatu di Sarawak dan mengumumkan keyakinannya dapat menumbangkan GPS dalam pilihan raya negeri pada 2021 nanti.
Sementara itu, Umno Sabah lumpuh kelmarin apabila 13 wakil rakyat dan 21 ketua bahagian mengisytiharkan diri keluar parti untuk menyokong Pakatan. Kebanyakannya dijangka akan menyertai Umno dalam masa yang terdekat. – 13 Disember, 2018
Komen