Bersatu yakin mampu tumbangkan GPS pada PRN 2021, kata Dr Mahathir 


Desmond Davidson

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenakan pakaian tradisi masyarakat Iban ketika melancarkan Bersatu Sarawak di Dewan Suarah Bintulu malam ini. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Disember, 2018

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, tiada sebab untuk parti Bersatu yang baru berusia dua tahun, walaupun kecil dan baru ditubuhkan, tidak mampu untuk menumbangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021. 

Pengerusi Bersatu itu berkata, mereka sudah buktikan mampu melakukannya kerana berjaya menumbangkan Umno yang memegang tampuk pemerintahan negara selama lebih 60 tahun. 

“Mereka kata BN tidak boleh ditumbangkan. Kami lakukannya pada 9 Mei,” katanya kepada kira-kira 2,000 hadirin yang memenuhi Dewan Suarah di Bintulu ketika melancarkan Bersatu Sarawak malam ini. 

Dr Mahathir berkata mana-mana kerajaan boleh bertukar sekiranya mereka tidak popular dan pakatan BN tidak popula kerana “pemimpin mereka korup dan mencuri wang rakyat”.

Beliau berkata Sarawak kini adalah negeri kaya dengan bajet yang sama besar sebanyak RM11 bilion tetapi jika wang itu tidak mengalirkan kepada rakyat, sampai waktunya untuk menukar kerajaan.

“Bila negara kaya, rakyat juga mestilah kaya. Jika wang tidak dikongsi dengan rakyat, tiba masa untuk menukar kerajaan.” 

Dr Mahathir bagaimanapun mengakui Bersatu tidak dapat menumbangkan Umno atau pakatan BN sendirian. 

“Jika Bersatu tanpa rakan pakatan (DAP, PKR, Amanah), tidak mungkin dapat tumbangkan Umno. Kami berjaya kerana kami bersatu. 

“Kami bantu mereka, mereka bantu kami. Kami perlukan sokongan rakan lain dalam PH untuk jadi kuat.”

Dan perkongsian itu katanya, merupakan kunci untuk mengambil alih negeri itu pada 2021. 

“Ia adalah sasaran kami. Perjuangan kami. Untuk mengubah kerajaan negeri pada piihan raya negeri akan datang.”

Dr Mahathir turut mengingatkan ahli baharu di negeri itu yang parti berkenaan tiada tempat untuk ahli yang hanya mengejar jawatan. 

“Tiada tempat untuk mereka yang mencari jawatan dan kekayaan. Tiada tempat untuk mereka yang berkhidmat kerana kepentingan diri.”

Beliau berkata, Bersatu tidak akan teragak-agak untuk membuang mereka dari parti yang katanya ditubuhkan untuk membanteras penyelewengan dan pemimpin yang korup dalam kerajaan. 

Sementara itu, koordinator negeri Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata parti itu menerima 30,000 permohonan keahlian sejak dua bulan lalu. 

“Ianya lebih daripada yang kita jangkakan,” katanya kepada pemberita. 

Katanya, walaupun mereka belum ditapis, “kebanyakan mereka akan diluluskan”.

Redzuan yang juga menteri pembangunan usahawan berkata, berapa pantas mereka disahkan sebagai ahli adalah bergantung kepada berapa cepat proses tapisan dan pendaftaran mereka. 

Katanya Bintulu dipilih untuk pelancaran itu kerana bandar itu “istimewa di hatinya”.

Menurutnya kali pertama beliau menjejakkan kaki ke bandar itu adalah pada 1980an untuk pecah tanah bagi tapak loji gas asli cecair di Tanjung Kidurong. 

“Bintulu menjadi simbol industrialisasi, mencerminkan kepimpinan Dr Mahathir pada tempoh perkhidmatan pertamanya. – 1 Disember, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen