Penyerang balai polis Ulu Tiram dipercayai anggota JI, kata KPN


Alfian Z.M. Tahir

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata suspek yang menyerang balai polis Ulu Tiram di Johor Bahru dipercayai anggota kumpulan pelampau Jemaah Islamiyah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Mei, 2024.

LELAKI bertopeng yang menyerang balai polis Ulu Tiram di Johor Bahru awal pagi tadi dan membunuh dua anggota polis dipercayai anggota kumpulan pelampau Jemaah Islamiyah (JI).

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata, lima ahli keluarga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung serangan itu.

Dua pengadu yang memfailkan laporan mengenai serangan itu juga telah ditahan untuk membantu siasatan.

Penyerang bertopeng berusia 24 tahun itu menyerang balai polis kira-kira jam 2.45 pagi, bersenjatakan pistol dan parang.

Dua anggota polis terbunuh manakala seorang lagi cedera sebelum suspek ditembak mati.

Jemaah Islamiyah adalah kumpulan militan yang berpusat di Indonesia, yang berdedikasi untuk penubuhan negara Islam di Asia Tenggara. Ia diasaskan oleh pendakwah bebas Abu Bakar Bashir pada awal 90-an.

Kumpulan itu telah dikaitkan dengan Al Qaeda dan juga bertanggungjawab atas serangan pengeboman Bali pada 2002. – 17 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen