Memang ada budaya pesta (arak) dalam masyarakat Melayu


Naim Al-Kalantani

TONGKAT Warrant atau Usman Awang dalam sajaknya bertajuk “Melayu” ada menggambarkan Melayu itu dengan “budi bahasanya tidak terkira.”

Kehalusan budi orang Melayu, pekerti yang sentiasa bagai resmi padi, santun dan lemah gemalai si Melayu itu rupanya ada hal yang masih ingin disorokkan sejarahnya.

Salah satunya ialah sejarah bagaimana Melayu yang gemalai tadi berpesta sakan meraikan sesuatu hal.

Ramai lupa yang adanya budaya berpesta dalam masyarakat Melayu.

Ramai yang menginginkan satu masyarakat Melayu ideal—saya fikir ia utopia—yang berada di zaman awal Parameswara datang ke Melaka sehingga ke zaman kesultanan Melayu Melaka.

Tetapi zaman itu telah merakam hal-hal yang jika anak Ketua Dewan Muslimah PAS Melaka membacanya, akan mengeluarkan kata nista (menggunakan bahasa Inggeris berslanga United Kingdom) kepada pahlawan Melayu kita Laksamana Hang Tuah.

Ceritanya begini; satu hari, Raja Melaka meminta pembesar-pembesarnya menyiapkan sebuah singgahsana untuk Raja Muda yang bujang itu bersemayam. Kata sahibul hikayat, istana itu terlalu baik perbuatannya.

Semua yang mengiringi Raja Muda untuk melihat pertukangan yang halus dari air tangan Temenggung dan Bendahara, memuji-muji keindahan istana yang berukir-ukir lengkap dengan peterana itu.

Untuk meraikan kebesaran istana baginda, Raja Muda membuat satu majlis keraian. Dipanggilnya Tun Tuah dan Tun Jebat untuk meraikan bersama.

Sesudah makan, mereka dihidangkan pencuci mulut iaitu sirih dan memakai bau-bauan.

Seorang khatib dipanggil untuk membaca doa memohon keberkatan. Maka sekalian menadah tangan dan berkata, “Amin, amin, ya Rabbul alamin.”

Setelah itu, minuman diangkat dan dihidangkan kepada tetamu. Piala bertakhtakan ratna mutu manikam diperdarkan kepada sekalian pegawai dan pertuanan.

Air di dalam piala tersebut rupanya diisi oleh arak dan diminum oleh tetamu-tetamu yang hadir.

Rebana pun dipalu, biduanda yang gemersik suaranya pun menyanyilah. Maka sekalian yang lain termasuk Raja, Tun Tuah dan Tun Jebat pun menarilah.

Tun Tuah yang handal bersilat tu maju ke tengah untuk menari menggunakan keris, diikuti oleh Tun Jebat.

Akibat terlalu gembira, dua orang pahlawan itu bersama Hang Lekir dan Hang Lekiu pun menjulang-julanglah piala arak tersebut untuk ditogak sambil menari-nari.

Tun Tuah bersaudara tidak meminum arak berseorangan. Dia mengingati pemerintah. Alangkah baiknya budi pahlawan Melaka ini.

Maka Tun Tuah pun mengambil piala, dipenuhi dengan arak dan mengajak Temenggung untuk mabuk bersama. Katanya, “Santaplah Datuk, titah duli yang dipertuan muda!”

Piala itu bertukar-tukar tangan. Bermula dari Hang Tuah, kepada rakan-rakannya yang lain. Kemudian kepada Temenggung, dan kemudian beralih ke tangan Bendahara.

Akhir sekali, Bendahara mempersembahkan arak tersebut kepada Raja Muda dan dititahnya raja, “Ayuh Mamak Bendahara, berbaiklah kita.”

Disambung kisah dalam sahibul hikayat, segala pegawai dan pertuanan semuanya mabuk belaka. Ada yang tidak sempat pulang ke rumah, ada yang rebah tertidur di tengah jalan, ada yang diusung oleh hambanya untuk dibawa pulang dan ramai juga yang menumpang tidur di segenap pojok kedai.

Raja Muda berbangga! Baginda menganugerahkan Bendahara, Temenggung dan dua orang bentara sepersalinan pakaian setiap seorang.

Esoknya, Raja Melaka bertanyakan majlis afterparty mengenai istana Raja Muda. Tun Tuah menceritakan semuanya kepada Raja Melaka.

Lalu baginda pun sedikit “kecewa” lalu bertitah, “Ramainya orang menari beranggap-anggapan, jika kita tahu kita pergi melihat.”

Bendahara dan Temenggung ketawa dan bermegah, “Daulat tuanku, patik ayapan (memberi makan) semalam bentara memulai pekerjaan, maka mabuklah segala pegawai dan pertuanan keayapan.”

Menutup sahibul hikayat, maka negeri Melaka pun sentosalah sejak itu, seperti air dalam talam.

Raja dan laksamana Melaka meraikan dengan penuh gilang gemilang selepas membina istana Raja Muda. Afterparty pun dihidangkan dengan arak yang dijunjung di dalam piala bertakhta ratna mutu manikam.

Masakan ia bukan budaya Melayu. Bukankah kita semua meleleh air liur mengidolakan budaya Melayu zaman terdahulu—zaman sultan Melaka yang dikhatankan zakarnya dalam mimpi? Zaman di mana arak dan tuak saling bertukar-tukar tangan dalam kalangan pembesar.

Masakan anak Ketua Dewan Muslimah PAS Melaka itu tidak menekur hikayat Melayu yang memaknai negeri sendiri?

Mungkin susah untuk dicernakan apa yang terjadi dalam sahibul hikayat. Mungkin saya perlu membawa lagi contoh yang agak terkini.

Pada awal abad ke-19, di negeri Serambi Mekah yang penuh dengan pengajian Islam di merata-rata, adakah saudari tidak tahu menahu ada bernafas berahi di Kota Bharu?

Di Wakaf Siku, tersergam sebuah syurga berahi yang dinamakan Biaritz Park. Dipermudahkan, orang memanggilnya show. Kalu ore Koto Bharu, demo ni panggil so sajo.

Biaritz Park asal ejaannya diambil “berkat” dari nama sebuah bandar di Perancis, Biarritz, yang pernah menjadi sebuah kota pusat hiburan terbesar.

Segala mak nenek hiburan di situ dan orang-orang tempatan suka hadir ke situ untuk healing dan melampias hawa nafsu selepas penat bekerja. S Othman Kelantan kata, sebut saja apa, semua ada di sana.

Joget, tarian, minuman yang menghilangkan akal, teman untuk menghilangkan resah batin, semua ada! Tidak lupa di dalamnya juga terdapat persembahan wayang kulit sebagai satu persembahan.

Serambi Mekah—yang ketika itu diberi julukan Paris Malaya—juga wujud temasya afterparty. Dan ia dibenarkan oleh baginda sultan ketika itu, dengan syarat boleh menari joget pada bulan puasa asalkan bukan pada malam Jumaat.

Inilah sebahagian daripada budaya kita. Mungkin lama sangat saudari duduk di United Kingdom sampaikan lupa daratan bagaimana budaya Melayu berpesta sakan.

Lagipun, kita masih ada tarian inang, joget lambak, zapin, makyung, mek mulung, inai, asli, asyik, dan sebutlah banyak lagi.

Budaya tarian dan “keseronokan” ini semua itu berakar dari lipatan sejarah yang panjang. Ia tidak begitu-begitu sahaja ada.

Mungkin saudari di belajar UK boleh membelek kembali buku-buku sejarah sambil-sambil menekur buku-buku Matematik tu. – 28 November, 2023.

* Naim Al-Kalantani, penuntut ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen