'Gelombang hijau' gagal di DUN Pelangai?


Ruhan Shahrir

Adakah sokongan pengundi akan beralih kepada calon PAS sehingga mampu memberi kemenangan buat Perikatan Nasional pada PRK Pelangai hari ini? – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Oktober, 2023.

DI atas kertas Umno akan menang mudah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai. Felda di Pahang pada umumnya adalah kubu kuat Umno.

DUN Pelangai merangkumi tiga kawasan Felda iaitu Felda Kemasul, Felda Kemahal dan Felda Chemomoi. Manakala pola pengundian sebahagian besar pengundi bukan Melayu pula berdasarkan kepada beberapa PRK yang lepas cenderung untuk tidak memberikan undi mereka kepada calon Perikatan Nasional (PN).

Andaian awal yang boleh dibuat ialah undi mereka akan diberikan kepada calon Umno.

Tiga kawasan Felda tersebut merangkumi hampir 50% daripada jumlah keseluruhan pengundi di DUN Pelangai. Dicampur pula dengan kurang lebih 30% pengundi bukan Melayu, maka menerusi kiraan kasar kelebihan adalah kepada Umno dan kerajaan perpaduan di Pahang.

Pada pilihan raya negeri (PRN) 2022 yang lepas, Allahyarham Johari Bin Harun, calon Umno yang menemui ajalnya dalam tragedi pesawat terhempas di Elmina, menang dengan undi sebanyak 7,308. Beliau meninggalkan calon PN, Cikgu Kasim, ditangga kedua dengan majoriti undi sebanyak 4,048. Manakala calon Pakatan Harapan (PH) di tangga ketiga dengan undi sebanyak 2,031.

PRK DUN Pelangai pada kali ini, PH memberi laluan kepada Umno untuk bersaing dengan calon PN, satu lawan satu, sungguhpun terdapat seorang calon bebas yang juga turut bertanding.

Congakan di atas kertas dengan situasi politik terkini yang menampilkan kerjasama gabungan antara Umno dan PH mengandaikan majoriti Umno akan bertambah jika pengundi-pengundi PH pada PRN Pahang 2022 yang lepas memberikan undi mereka kepada Amizar Abu Adam, calon Umno pada PRK DUN Pelangai kali ini.

Namun, di sebalik perkiraan dan congakan atas kertas, pertarungan dijangka berlaku sengit kerana terdapat beberapa pembolehubah baharu yang tidak lagi sama dengan PRN Pahang 2022 yang lepas.

Peralihan undi Melayu

PRK DUN Pelangai adalah PRK yang keempat selepas PRU/PRN15 pada 2022. PRK yang pertama adalah di Parlimen Kuala Terengganu, manakala PRK kedua dan ketiga adalah di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

Di ketiga-tiga PRK tersebut terdapat peralihan undi Melayu yang ketara kepada PN.

PRK Kuala Terengganu yang dijalankan serentak dengan PRN di enam negeri pada 12 Ogos yang lalu, menunjukkan calon PN Ahmad Amzad Hasim daripada PAS yang dibatalkan kemenangan beliau oleh mahkamah telah menambah majoriti undi daripada 40,907 kepada 47,266 meskipun dalam keadaan satu lawan satu dengan calon PH. Andaian yang boleh dirumuskan ialah terdapat peralihan undi Melayu, kemungkinan besar daripada Umno, yang telah berpindah kepada PN, bukan kepada PH.

Pola yang sama turut berlaku di PRK selanjutnya di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. Walaupun kemenangan berpihak kepada kedua-dua calon PH daripada Amanah, tetapi undi Melayu yang berpindah kepada PH tidaklah besar iaitu hanya sekitar 27% di Pulai dan 31% di Simpang Jeram.

Sebaliknya, PN yang menerima majoriti sokongan daripada pengundi-pengundi Melayu iaitu lebih kurang 73% di Pulai dan 69% di Simpang Jeram. Namun, oleh kerana jumlah demografi pengundi-pengundi bukan Melayu di Pulai dan Simpang Jeram adalah relatifnya besar dan mereka memberikan sokongan yang padu pula kepada calon-calon PH (hampir 99% menurut Bridget Welsh), maka kedua-dua calon PN tewas di PRK tersebut.

Sungguhpun begitu, pola peralihan undi Melayu kepada PN adalah jelas terzahir daripada ketiga-tiga PRK yang telah pun berlangsung itu.

Persoalannya sekarang ialah apakah pola peralihan undi Melayu kepada PN tersebut akan berterusan di DUN Pelangai?

Pada hemat saya, peralihan undi akan tetap berlaku khususnya buat sebahagian daripada pengundi-pengundi Umno pada PRN 2022 yang tidak berpuas hati dengan kerjasama antara Umno dan PH sekarang. Mereka yang dahulunya mengundi Umno kerana “No Anwar, No DAP” mungkin akan beralih sokongan kepada PN.

Pada masa yang sama kehadiran calon bebas yang merupakan ketua Pemuda Umno Bahagian Bentong sebelum beliau dipecat keahliannya kerana melanggar arahan parti untuk tidak bertanding sedikit sebanyak akan turut menarik undi sebahagian kecil daripada penyokong Umno sama ada mengundi beliau atau melakukan undi protes dengan beralih kepada PN.

Tetapi apakah peralihan-peralihan yang mungkin berlaku itu cukup untuk memenangkan PN? Saya musykil.

Felda kubu kuat Umno

Kemusykilan tersebut adalah bersandarkan kepada hujah di awal rencana, yakni Felda di Pahang cenderung menjadi kubu kuat Umno.
 
Memandangkan hampir 50% daripada jumlah pengundi berdaftar di DUN Pelangai adalah daripada tiga kawasan Felda yang telah saya nyatakan, Umno hanya memerlukan kurang lebih minima 25%-30% sahaja undi Felda untuk menang.

Manakala selebihnya boleh ditampung oleh undi bukan Melayu yang polanya daripada PRK Pulai dan Simpang Jeram menunjukkan 99% daripada mereka cenderung memberikan undi kepada parti yang mewakili kerajaan perpaduan. Dalam konteks ini, Umno.

Peratusan keluar mengundi rendah

Namun begitu, kita juga tidak boleh menolak kemungkinan jumlah pengundi bukan Melayu yang turun mengundi akan berkurangan kerana pelbagai faktor yang wujud. Jika peratus keluar mengundi bukan Melayu jatuh, maka undi melebihi 30% daripada kawasan Felda menjadi penting untuk memastikan kemenangan Umno di DUN Pelangai.

Pada umumnya mana-mana PRK pun peratusan keluar mengundi cenderung berkurangan. PRK Simpang Jeram hanya mencatat peratus kwluar mengundi sebanyak 61% sahaja. Manakala di PRK Pulai keadaannya lebih teruk apabila hanya 47% sahaja daripada jumlah pengundi berdaftar yang keluar mengundi.

Saya menjangkakan pola yang sama akan turut berlaku di DUN Pelangai. Jika peratusan keluar mengundi rendah, siapa yang untung?

Bergantung kepada generasi mana dan komuniti mana yang peratusan keluar mengundinya rendah.

Undi generasi muda

Berdasarkan kepada PRU dan PRN 2022, generasi muda Melayu khususnya cenderung memilih PN. Manakala sokongan generasi tua Melayu lebih menjurus kepada Umno. Namun, seperti yang telah saya nyatakan peratusan keluar mengundi di mana-mana PRK cenderung rendah.

PRK Pulai dan Simpang Jeram menunjukkan keterlibatan pengundi-pengundi muda berkurangan. Sebahagiannya adalah kerana ramai daripada mereka di Pulai, khususnya yang berkerja di Singapura. PRK kurang kepentingannya buat mereka untuk mengambil cuti kerana kerajaan sudah pun tertubuh. Perubahan DUN tidak memberi kesan kepada perubahan kerajaan.

Justeru, ramai yang merasakan tiada keperluan untuk mereka mengambil cuti kerja semata-mata untuk keluar mengundi.

Saya berpandangan, keadaan yang sama kemungkinan besar akan turut berlaku di DUN Pelangai. Ramai generasi kedua dan ketiga Felda yang mungkin berkerja jauh di luar daerah Pelangai. Begitu juga dengan anak-anak muda di kawasan luar Felda yang mungkin sahaja berkerja di kota-kota besar atau negeri-negeri lain.

Kemungkinan mereka balik ke kampung hanya semata-mata untuk membuang undi yang tidak akan memberi kesan kepada perubahan kerajaan negeri adalah rendah.

Justeru, peratusan keluar mengundi generasi muda yang rendah berdasarkan pola pengundian PRU 2022 dan PRN/PRK 2023 yang lepas akan memberi kelebihan kepada Umno.

Undi Melayu dan bukan Melayu

Jika majoriti pengundi daripada komuniti bukan Melayu tidak keluar mengundi, kelebihan adalah kepada PN. Namun, jika peratusan keluar mengundi daripada komuniti Melayu yang rendah, kelebihan adalah kepada Umno.

Ini adalah kerana kebarangkalian peralihan undi daripada komuniti Melayu kepada PN adalah lebih tinggi berbanding kepada Umno.
 
Manakala peralihan undi komuniti bukan Melayu kepada PN kemungkinan besar peratusannya sangat kecil seperti mana yang dizahirkan di PRK Pulai dan Simpang Jeram yang lalu. Justeru, dalam konteks ini, yang untung adalah Umno.

Long Nan

Umno juga beruntung kerana mendapat sokongan secara langsung daripada bekas menteri besar Pahangi Adnan Yaakob yang lebih mesra dengan panggilan “Long Nan”, yang merupakan Adun Pelangai selama lapan penggal.

Kehadiran Long Nan di dalam kempen-kempen di akar umbi, sama ada di dalam kawasan Felda mahu pun di luar kawasan Felda bersama calon Umno, Amizar Abu Adam, pada hemat saya memberi pengaruh yang tidak kurang pentingnya untuk menarik pengundi-pengundi Melayu khususnya mereka yang berada di atas pagar untuk memberikan undi kepada Umno.

Apatah lagi kenyataan beliau yang mengatakan bahawa “hanya calon BN, Amizar Abu Adam, yang boleh jual nama saya”, memberi isyarat kepada pengundi-pengundi DUN Pelangai untuk terus memberi dukungan kepada Umno.

Walaupun Long Nan sudah tidak lagi menjawat jawatan tinggi baik di dalam parti mahu pun kerajaan, namun sebagai Adun Pelangai selama lapan penggal dan bekas menteri besar Pahang paling lama berkhidmat, dukungan yang beliau berikan kepada  Amizar tentunya sedikit sebanyak akan mempengaruhi pilihan pengundi di DUN Pelangai.

Siapa menang DUN Pelangai?

Pola peralihan undi Melayu kepada PN adalah suatu fenomena yang tidak seluruhnya sekata. Terdapat faktor-faktor khusus yang bersifat kenegerian, kedaerahan dan tempatan yang memberikannya ciri-ciri khas yang kemungkinan besar berlawanan dengan kecenderungan umum pengundian-pengundian sebelum ini.

Kecenderungan umum pengundian di PRU 2022 dan PRN/PRK 2023 menunjukkan terdapat peralihan undi Melayu yang signifikan kepada PN. Namun, DUN Pelangai punya ciri-ciri tempatannya yang khas, yang pada hemat saya akan menjadikan “gelombang hijau” terbatas.

Saya menjangkakan pertarungan sengit. Namun Umno punya kelebihan untuk bangkit. – 7 Oktober, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen