Adakah PAS boikot PRK KKB, soal Fahmi


Khairul Azhari Saut adalah calon PN/Bersatu untuk PRK KKB yang bakal diadakan 11 Mei ini. Pemimpin PAS tidak kelihatan berkempen di KKB, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2024.

PENGARAH Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mempersoalkan adakah PAS memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu berikutan tiada pemimpin parti itu dilihat berkempen.

Bercakap kepada media selepas program Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya malam tadi, Fahmi berkata pemimpin PAS tiada di KKB walaupun calon mereka daripada Perikatan Nasional (PN) bertanding untuk PRK yang akan diadakan pada 11 Mei itu.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan Bersatu dalam keadaan panik.

“Kita ingatkan boikot hanya Starbucks dan KFC, tapi nampaknya calon PN juga kena boikot,” katanya merujuk kepada boikot berterusan terhadap syarikat berkaitan dengan Amerika Syarikat susulan sokongan terhadap Israel.

Fahmi, yang juga menteri komunikasi turut menyelar pemimpin pembangkang yang memainkan isu kaum dan agama, termasuk berkaitan dengan sekolah vernakular, dalam kempen di KKB.

Katanya, pemimpin pembangkang kering idea.

“Berapa ramai pemimpin PAS hantar anak mereka ke sekolah Cina? Saya faham yang cucu Hadi (presiden PAS Abdul Hadi Awang) pun dihantar ke sekolah Cina,” katanya.

Beliau merujuk kepada pembangkang yang menyasarkan calon PH/DAP Pang Sock Tao yang belajar di sekolah vernakular.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (PN/Bersatu, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas Nyau Ke Xin.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok menggesa Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengisytiharkan pendirian mereka terhadap pendidikan sekolah vernakular.

“Muhyiddin – sila isytihar Bersatu dan PN tidak menentang pendidikan vernakular dan tidak akan sokong sebarang cubaan memansuhkannya,” katanya dipetik berkata kepada Malaysiakini.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata beliau beri soalan yang sama kepada calon PN, Khairul Azhari tetapi tiada jawapan.

Katanya, pemimpin pembangkang memang pernah mendesak supaya sekolah vernakular dimansuhkan. – 2 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen