Landskap politik berubah ketika penduduk Bumiputera meningkat, kata pakar


Ravin Palanisamy

Pemerhati berkata lebih ramai pengundi Melayu seiring dengan peningkatan populasi Melayu-Islam akan memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2023.

CORAK pertumbuhan penduduk yang berubah dengan pantas menyaksikan penurunan bilangan bukan Islam di Malaysia memberi kesan kepada corak politik di negara ini dan hanya akan terus memaksa lebih banyak perubahan, kata pemerhati.

Mereka berkata, corak populasi yang semakin meningkat itu akan mengubah komposisi bukan Melayu kepada Melayu di lebih banyak kawasan pilihan raya, yang akan menyaksikan undian diperoleh dan dimenangi berdasarkan kaum dan agama.

Penganalisis menyatakan malah dalam pilihan raya umum lalu dan pilihan raya enam negeri yang diadakan baru-baru ini, kerusi dimenangi oleh parti berasaskan Melayu di kawasan pilihan raya yang beralih daripada kerusi campuran kepada majoriti Melayu.

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata, lebih ramai pengundi Melayu seiring dengan peningkatan populasi Melayu-Islam akan memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya.

“Dengan kadar kelahiran Melayu lebih tinggi berbanding etnik Cina dan India, ia akan menyumbang kepada perubahan demografi pengundi.

“Kawasan majoriti bukan Melayu akan seimbang dengan populasi pengundi Melayu dan secara tidak langsung akan membawa maksud dan keputusan berbeza dalam pilihan raya,” kata pengarah eksekutif badan bebas itu kepada The Malaysian Insight.

Perbandingan angka etnik kaum di Malaysia sejak tiga dekad lalu seperti yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan peningkatan masyarakat Melayu, dengan bilangan bukan Melayu semakin berkurangan.

Pada tahun 2000, terdapat 20.9 juta warganegara Malaysia berdaftar dengan 65.6% daripadanya adalah Melayu dan Bumiputera, Cina (25.6%), India (7.5%) dan lain-lain (1.2%).

Pada 2010, bilangan warganegara Malaysia meningkat kepada 25.2 juta dengan peratusan Melayu dan Bumiputera meningkat kepada 67.4% manakala terdapat penurunan dalam bangsa Cina (24.5%), India (7.3%) dan lain-lain (0.7%).

Statistik terkini 2020 oleh DOSM menunjukkan penduduk warganegara meningkat kepada 29.7 juta dengan 69.4% daripadanya adalah Melayu dan Bumiputera, Cina (23.2%), India (6.7%) dan lain-lain (0.7%).

Bilangan penduduk bukan Islam semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan dan trend itu dijangka berterusan pada tahun-tahun akan datang.

Perbandingan angka etnik kaum di Malaysia sejak tiga dekad lalu menunjukkan peningkatan masyarakat Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 September, 2023.

Menurut Hisommudin, penurunan populasi bukan Melayu di negara ini mungkin disebabkan faktor perkahwinan dan perancangan keluarga.

“Faktor perkahwinan dan perancangan orang bukan Melayu berbeza berbanding orang Melayu,” katanya.

Menyokong dakwaannya mengenai bagaimana peningkatan orang Melayu mempunyai kelebihan dalam pilihan raya, Hisommudin memberi contoh DUN Hulu Kelang dan Sungai Ramal di Selangor sebagai rujukan dalam pilihan raya negeri baru-baru ini.

Hisommudin berkata, demografi di dua kawasan bandar itu berubah daripada komposisi campuran kepada kawasan yang mempunyai peratusan pengundi Melayu yang tinggi.

Daftar pemilih Pilihan Raya Umum 2013 (PRU13) menunjukkan peratusan orang Melayu di Hulu Kelang adalah 80.1% diikuti Cina (14.3%), India (4%) dan lain-lain (1.6%).

Data DOSM bagi tahun 2020 menunjukkan penduduk Melayu di DUN itu meningkat kepada 86.3%, dengan penurunan selebihnya - Cina (10%), India (3.3%) dan lain-lain (0.4%).

Di Sungai Ramal, daftar pemilih PRU13 menunjukkan Melayu di kawasan itu pada 66.4%, Cina (19%), India (13.5%) dan lain-lain (1.1%), tetapi statistik DOSM 2020 menunjukkan Melayu melonjak sehingga 81.4%, manakala yang lain menurun - Cina (11.5%), India (6.6%) dan lain-lain (0.5%).

Dengan perubahan bilangan penduduk, kedua-dua kerusi itu dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan kaum dan agama sebagai bahan kempen mereka.

Hisommudin berkata, naratif Melayu-Islam yang kuat oleh PN mempengaruhi pengundi termasuk segmen pengundi muda.

“Dalam erti kata lain, bagi kerusi Parlimen campuran atau DUN, jika majoriti pengundi Melayu meningkat, maka corak sokongan akan memihak kepada PN,” katanya. – 2 September, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen