Kumpulan Melayu mahu Anwar jayakan Kongres Ekonomi Bumiputera


Diyana Ibrahim

MTEM yang mahu Kongres Ekonomi Bumiputera menjadi lambang kesungguhan kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperjuangkan ekonomi Bumiputera Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2023.

KONGRES Ekonomi Bumiputera perlu matlamat dan sasaran yang jelas untuk memastikan program tidak gagal seperti sebelum ini, kata kumpulan ekonomi Melayu.

Antaranya Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang mahu kongres itu menjadi lambang kesungguhan kerajaan Madani memperjuangkan ekonomi Bumiputera Melayu.

Ketua pegawai eksekutifnya Ahmad Yazid Othman berkata program itu diperlukan kerana kesenjangan ekonomi orang Melayu semakin melebar sejak kongres itu diadakan pada 1960-an.

Paling penting katanya, kongres yang bakal berlangsung pada Januari depan harus lari daripada dibayangi unsur politik dan tidak lagi menjadi medan retorik semata-mata.

“Saya rasa rakyat tak boleh terima kalau kongres kali ini menjadi satu lagi acara bertujuan memberi mesej politik tapi tak ada impak seperti mana berlaku pada Kongres Ekonomi Bumiputera 1965.

“Kali ini kita nak tengok kepelbagaian yang dapat ditawarkan kerajaan Madani untuk menegakkan dan memperkasakan kedudukan Bumiputera yang tidak dapat dipertahankan walaupun semasa kemerdekaan.

“Jurang ekonomi orang Melayu semakin melebar dan kita risau jurang itu bertambah melebar,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kongres yang bakal berlangsung pada tahun depan menjadi perhatian ramai kerana dianjurkan bawah kerajaan baharu – kerajaan perpaduan yang ditadbir Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kongres yang bertujuan mengangkat ekonomi orang Melayu pertama kali diadakan pada tahun 1965 semasa pentadbiran perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman Tunku Putra.

Sebanyak 70 resolusi yang diluluskan pada waktu itu antara lain membolehkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dibentuk bagi menggantikan Rural And Industrial Development Authority (Rida).

Resolusi yang dicapai dalam kongres itu juga membolehkan Bank Bumiputera Malaysia dibentuk bagi menyediakan pembiayaan perdagangan kepada Bumiputera.

Mengulas lanjut Yazid berkata kongres kali ini perlu meletakkan sasaran yang jelas seperti 70%  Keluaran Kasar dalam Negara (KDNK) disumbangkan Bumiputera.

Selain itu ia perlu menetapkan sasaran pendapatan isi rumah orang Melayu dengan tahap gaji yang bermaruah atau sekurang-kurangnya mendapat gaji minimum.

“Itu harapan MTEM. Apabila dua perkara ini dah ada baru kita letak KPI (indeks prestasi utama).

“Sebagai contoh kita nak hasil pengeluaran dua tan durian dalam masa dua bulan. Kita akan buat semua pengeluaran untuk capai sasaran dua bulan itu. Ini yang MTEM mahukan.

“Dan kemudian barulah kita boleh tubuhkan kluster yang akan bincang kaedah dan strategi untuk pastikan matlamat kita tercapai,” katanya.

Tambahnya kerajaan juga tidak boleh bergerak bersendirian tanpa melibatkan pihak atau pemegang taruh seperti NGO yang benar-benar memahami isu tersebut.

Selain itu, MTEM juga berharap resolusi dan dasar lama perlu diperhalusi semula dan pembaharuan perlu dilakukan bagi menggantikan polisi yang gagal.

“Sebagai contoh dasar pelan kerajaan untuk ekonomi Bumiputera tapi mereka gagal pastikan rantaian bekalan untuk Bumiputera.

“Kerajaan juga tak dapat nak halang ali baba ambil hasil yang diperuntukkan (kepada) Bumiputera.

“Apa faedah kita berniaga tapi 80% daripada bahan mentah daripada bukan Bumiputera. Bukan bermaksud kita ada masalah dengan kaum lain tapi ia juga gagal menggagalkan agenda program ini,” katanya.

Selain itu, MTEM juga mahukan kongres tersebut menetapkan sasaran jangka masa panjang dan pendek yang akan dicapai.

Beliau berkata dalam pertemuan libat urus bersama penganjur, mereka dimaklumkan perdana menteri mahu menetapkan tempoh masa resolusi yang dicapai sehingga 2050.

“Tapi kita rasa tempoh masa terlalu panjang justeru itu perlu ada juga tempoh masa jangka pendek,” katanya.

Satu lagi badan, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata mencadangkan pihak universiti dilibatkan bagi mengkaji masalah orang Melayu dan cara efektif bagi menanganinya.

“Sebenarnya dah berpuluh tahun masalah orang Melayu ini sama sahaja dan kita tahu masalah sebenar.

“Sebagai contoh kalau kata orang Melayu ini tak ada duit, diberilah suntikan dana RM10 atau RM20 bilion tapi duit itu habis tapi masalah sama.

“Jadi isu inilah yang kita kena selesaikan. Perlu tahu macam mana nak tangani masalah kita dan fokus. Kalau tak kongres (sama) juga seperti sebelum ini,” katanya.

Beliau turut senada bahawa kerajaan perlu melibatkan NGO secara serius sebagai pemegang taruh berkepentingan bagi menjayakan agenda tersebut.

Beliau berkata banyak NGO kumpulan Melayu yang mempunyai input yang bernilai dan faham dengan isu permasalahan orang Melayu namun segala cadangan daripada mereka dipandang sepi. – 18 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen