Jumlah penduduk Amerika Latin kelaparan meningkat, kata laporan PBB


Menurut FAO ketakjaminan makanan merujuk kepada kekurangan akses makanan yang sihat dan berkhasiat. – Gambar AFP, 7 Disember, 2022.

JUMLAH penduduk di Amerika Latin dan Caribbean yang kelaparan meningkat lebih 13 juta antara 2019 dan 2021 ekoran lonjakan harga makanan, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Laporan diterbitkan tiga agensi PBB iaitu Suruhanjaya Ekonomi untuk Amerika Latin dan Caribbean (ECLAC), Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Program Makanan Sedunia (WFP) semalam.

Ia menyebut rantau yang bergantung kepada import gandum, jagung dan baja itu terdedah kepada krisis makanan global susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

“Jumlah penduduk yang kelaparan di rantau itu meningkat sebanyak 13.2 juta orang kepada 56.5 juta,” menurut laporan yang dibacakan pada sidang media di Santiago, Chile.

Turut dilaporkan ketakjaminan makanan telah menjejaskan seramai 267.7 juta orang, iaitu bersamaan 40.6% daripada jumlah keseluruhan penduduk di Amerika Latin dan Caribbean pada 2021. Angka ini jauh melebihi purata duni iaitu 29.3%, tambah laporan itu.

“Kenaikan inflasi makanan dan kemiskinan tegar antara faktor yang menyumbang peningkatan ketakjaminan makanan dan kelaparan,” katanya.

Menurut FAO ketakjaminan makanan merujuk kepada kekurangan akses makanan yang sihat dan berkhasiat.

Penolong Ketua Pengarah FAO Mario Lubetkin berkata kebergantungan besar terhadap baja import harga makanan yang tidak menentu menjejaskan mata pencarian terutamanya penduduk luar bandar, serta akses kepada makanan sihat. – AFP, 7 Disember, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen