PBB beri amaran kesan letusan gunung berapi Caribbean jejas pulau lain 


Keadaan di Saint Vincent dan Grenadines selepas letusan gunung berapi yang menyebabkan 110,000 penduduk terputus bekalan air bersih dan elektrik. – Gambar EPA, 15 April, 2021.

KRISIS kemanusiaan dan ekonomi susulan letusan gunung berapi La Soufriere di pulau Saint Vincent di Caribbean akan berlarutan selama beberapa bulan dan mungkin melarat ke pulau berhampiran, kata seorang pegawai PBB memberi amaran pada Rabu.

“Ini adalah krisis yang memerlukan tindak balas kemanusiaan tetapi juga respons dari segi pemulihan” yang mungkin berlangsung selama beberapa bulan, kata Didier Trebucq, penyelaras PBB bagi Barbados dan Caribbean Timur.

Trebucq bercakap kepada wartawan di New York melalui sidang video dari Barbados berkata gunung berapi - yang tidak pernah meletus sejak 1979 - tetap aktif dan setiap hari menghamburkan abu dan asap selepas meletus pada 9 April.

Kepulauan Saint Vincent dan Grenadines mempunyai kira-kira 110,000 penduduk dan 20,000 terpaksa dipindahkan dari rumah mereka.

Kira-kira 4,000 orang dipindahkan ke tempat perlindungan tetapi jumlahnya semakin meningkat, kata Trebucq.

Pada Rabu, kapal tentera laut Perancis, Le Ventose, sampai di Saint Vincent dengan belakan air dan 75 tan bantuan kemanusiaan.

Trebucq berkata sukar untuk mengetahui berapa lama krisis itu akan berlanjutan. 

“Semuanya bergantung pada tempoh letusan gunung berapi,” katanya. 

“Ada kemungkinan ia akan berlangsung beberapa minggu, juga mungkin beberapa bulan.”

Letusan itu akan memberi kesan jangka panjang dan sederhana di Saint Vincent serta pulau-pulau berdekatan termasuk Barbados, Antigua dan Barbuda, dan lain-lain.

Kepulauan Perancis di Martinique dan Guadeloupe juga mungkin terjejas.

Ketika menggesa bantuan antarabangsa, Trebucq berkata musim taufan di Caribbean akan bermula dalam tempoh dua bulan, dan pelancongan yang menjadi sumber pendapatan utama pulau di sana terjejas oleh pandemi Covid-19.

Saint Vincent dan Grenadines kini merupakan anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB. – AFP, 15 April, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen