Jumlah korban Covid-19 di Amerika Latin dan Caribbean lebih 600,000


Orang ramai beratur untuk menerima vaksin Covid-19, di Brasilia, Brazil, pada 2 Februari. Kerajaan memulakan satu lagi tahap vaksinasi di pelbagai kawasan di bandar, khusus untuk mereka yang berumur 80 tahun atau lebih. – Gambar EPA, 3 Februari, 2021.

LEBIH 600,000 maut akibat Covid-19 di Amerika Latin dan Caribbean sejak wabak itu bermula, lapor AFP pada Selasa daripada sumber rasmi.

Wilayah ini, yang merangkumi 34 negara dan wilayah di Amerika Selatan dan Tengah serta Caribbean dan Mexico, mencatatkan 601,256 kematian - jumlah kematian virus kedua tertinggi selepas Eropah.

Brazil dan Mexico menyumbang kira-kira separuh kematian akibat koronavirus di wilayah itu, yang mencecah angka lebih 500,000 pada akhir Disember dan terus meningkat sejak itu.

Eropah mencatatkan 747,887 kematian, sementara jumlah korban di Amerika Syarikat dan Kanada sekurang-kurangnya 464,204, berdasarkan perkiraan AFP.

Banyak negara Amerika Latin mengalami gelombang kedua jangkitan yang membawa maut sejak Disember, selepas beberapa bulan penularan yang lebih perlahan.

Brazil adalah negara dengan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia dengan lebih 226,300 kematian, dan Mexico di tempat tiga dengan sekurang-kurangnya 159,100 kematian.

Berdasarkan peratusan penduduk, Peru paling teruk dengan 125 kematian bagi 100,000 orang, diikuti Mexico dan Panama dengan 123 bagi 100,000 orang.

Di seluruh dunia, wabak ini sudah meragut lebih 2.2 juta nyawa sejak Disember 2019. Amerika Syarikat setakat ini mempunyai jumlah korban tertinggi iaitu lebih 446,000. – AFP, 3 Februari, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen