China, AS perang mulut di PBB kerana Covid-19


Utusan China Zhang Jun naik darah apabila Duta AS Kelly Graft bertindak kurang ajar pada mesyuarat Majlis Keselamatan. – Gambar AFP, 25 September, 2020.

CHINA semalam mengecam AS pada mesyuarat tertinggi PBB kerana kritikannya berkaitan Covid-19, dengan utusannya melaungkan “cukup, cukuplah!”.

Dua hari selepas Presiden Donald Trump menggunakan ucapannya di Perhimpunan Agung untuk menyerang China, duta AS ke PBB juga berucap dengan nada tidak boleh diterima sehingga menyebabkan rakan sejawatnya dari China naik darah.

“Saya perlu kata, cukup, cukuplah! Anda dah buat banyak masalah untuk dunia,” kata Utusan China Zhang Jun pada mesyuarat Majlis Keselamatan tentang tadbir urus global menerusi persidangan video yang dihadiri beberapa ketua negara.

“AS mempunyai hampir tujuh juga kes sah dan lebih 200,000 kematian sekarang, Dengan teknologi dan sistem perubatan tercanggih, mengapa AS yang menjadi negara paling banyak kes sah dan kematian?” soalnya.

“Jika seseorang perlu dipertanggungjawab, ia patutnya beberapa orang politikus AS.”

Menggunakan frasa yang sering digunakan pemimpin AS kepada China, Zhang berkata, “AS perlu faham yang kuasa besar patut berkelakuan seperti kuasa besar.”

AS “benar-benar terasing”, katanya sinis dan mendapat sokongan rakan sejawatnya dari Rusia.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Duta AS Kelly Graft secara terbuka memarahi Majlis Keselamatan menyebabkan semua diplomat terpinga-pinga.

“Tahu malu lah sikit. Saya terkesima dan jijik dengan perbincangan hari ini,” kata Craft.

“Saya sebenarnya sangat malu dengan Majlis ini- ahli majlis yang mengambil peluang memberi tumpuan kepada kesumat politik berbanding isu di depan mata.”

Diplomat berkata mereka terkejut dengan nada ucapan Craft, yang meninggalkan perbincangan ketika duta China mula bercakap.

Craft “sangat agresif” selepas sesi yang “mencapai hampir atau sepenuhnya konsensus”, kata seorang diplomat yang enggan dinamakan.

Dengan ketua dunia diminta menghantar rakaman ucapan terlebih awal untuk Perhimpunan Agung virtual, Presiden China Xi Jinping tidak dapat menjawab tuduhan Trump dan ucapannya berkisar tentang sasaran China untuk isu perubahan iklim.

Tetapi jurucakap Perhimpunan Agung Brenden Varma berkata, China sudah meminta ruang untuk berucap pada Selasa depan untuk menjawab tuduhan AS.

Trump dalam ucapannya mendesak tindakan diambil ke atas China kerana “menyebarkan wabak Covid-19” ke seluruh dunia.

China cuba menyembunyikan berita penyakit itu apabila ia mula dikesan di Wuhan tahun lepas dan pada mulanya cuba memperkecilkan risiko jangkitan.

Bagaimanapun, pemimpin komunis China sejak kebelakangan ini cuba mengubah naratif dengan memperlihatkan kejayaan mereka menghentikan jangkitan virus itu.


 


 

Tindak balas Trump ke atas wabak itu -yang digelarnya “virus China’- menjadi isu utama ketika beliau sedang mendapatkan mandat baharu dalam pilihan raya 3 November ini. – AFP, 25 September, 2020.


 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen