Saya dinasihat tangguh potongan subsidi diesel, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim rasionalisasi subsidi diesel adalah dasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu tetapi mereka tidak bersedia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Jun, 2024.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan beliau dinasihatkan oleh sesetengah pihak agar tidak melaksanakan subsidi diesel yang disasarkan sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Pulau Pinang.

Beliau berkata pihak ini mahu beliau menangguhkan pengumuman itu.

“Mereka menasihati saya untuk melakukannya selepas PRK. Tetapi saya kata tidak. Saya berkata kita mesti menghadapinya.

“Apa gunanya memberi (rakyat) mesej yang salah?” katanya dalam ucapannya pada Himpunan Aspirasi Madani Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Rasionalisasi diesel bermula pada 10 Jun manakala PRK Sungai Bakap pada 6 Julai.

Anwar berkata rasionalisasi subsidi diesel adalah dasar yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu tetapi mereka tidak bersedia.

“Saya dan perdana menteri sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan subsidi sasaran (bahan api).

“Mereka semua bersetuju tetapi tidak bersedia untuk melakukannya kerana mereka tahu masalah yang mereka perlu hadapi,” katanya.

Anwar juga memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah yang menaikkan tambang mereka berikutan rasionalisasi subsidi diesel.

“Mereka berisiko digantung atau dibatalkan lesen.

“Anda telah diberi subsidi dan jika anda masih menaikkan harga, berhati-hati!

“Saya tidak tahu tentang orang lain, tetapi bagi saya, jika anda menaikkan harga apabila anda mendapat subsidi, kami akan membatalkan lesen anda. Jika tidak, pelajar sekolah akan terbeban.

“Jika benar anda belum menerima (subsidi), mohon kad armada dan kami akan bayar.”

Pada Selasa Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengusaha bas ekspres dan bas sekolah tidak seharusnya menaikkan tambang susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar di semenanjung.

Ini kerana subsidi diesel terus diberikan kepada mereka melalui kad armada di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi. – 14 Jun, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen