BERIKUTAN spekulasi berbulan-bulan lamanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akhirnya membuat kejutan pada hari pertamanya kembali ke pejabat setelah dimasukkan ke hospital pada 30 Jun, dengan mengumumkan kenaikan pangkat dua menteri Umno.
Di tengah ugutan Umno mahu keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menarik sokongan mereka terhadap perdana menteri, Muhyiddin mengumumkan kenaikan pangkat Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob kepada Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Juga dalam kenyataan sama, Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein, yang tidak memegang jawatan peringkat kebangsaan dalam Umno, turut diangkat menjadi Menteri Kanan, mengambil alih kluster keselamatan dari Ismail Sabri.
Namun, adakah ini kompromi yang dicapai antara Muhyiddin dan Umno atau adakah ini tindakan berat sebelah?
Pengumuman kenaikan pangkat itu dibuat hanya beberapa jam sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bermesyuarat malam ini bagi memutuskan sama ada akan menarik sokongannya kepada kerajaan dan Muhyiddin atau tidak.
Hishammuddin dan Ismail Sabri bertindak balas dengan mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin walaupun sehari sebelum, Ketua Pemuda Umno Dr Aysraf Wajdi Dusuki berkata di Facebook, Umno telah putuskan untuk tidak terima jawatan TPM dari PN.
Jadi, timbul persoalan lagi adakah jawatan TPM diberikan kepada Umno, atau kepada individu?
Juga bagaimana ia akan memberi kesan terhadap mesyuarat MKT Umno malam ini?
Berikut garis masa pertelingkahan Umno dan Bersatu sejak 2020.
Garis Masa
13 Mac, 2020: Tidak berpuas hati dengan pelantikan kabinet, Umno buat enam tuntutan terhadap kerajaan PN. Perkara ini berlaku selepas beberapa ahli Parlimen Umno, termasuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata di media sosial bahawa Umno berhak dapat perjanjian seimbang.
Kabinet Muhyiddin tidak ada jawatan TPM, tetapi mengangkat empat ahli Parlimen sebagai menteri kanan - dua Bersatu, manakala Umno dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) masing-masing satu. Portfolio kabinet pertama Muhyiddin juga dikuasai Bersatu walaupun parti itu paling kecil dalam PN.
23 September: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata para ahli Parlimen Umno bebas menyokong Anwar Ibrahim jika mahu selepas presiden PKR itu memberitahu wartawan kerajaan Muhyiddin telah jatuh.
9 Januari, 2021: Ahli Parlimen Machang dari Umno Ahmad Jazlan Yaakub tarik sokongan terhadap Muhyiddin.
12 Januari: Ahli Parlimen Padang Rengas dari Umno, Nazri Aziz tarik sokongan terhadap Muhyiddin, mengurangkan kerusi Parlimen kerajaan PN kepada 109. Bagaimanapun pada 2 Julai, Nazri kembali memberi sokongan kepada Muhyiddin setelah mendakwa ditipu Zahid.
23 Februari: Umno berkata akan mengadakan Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) pada 27 dan 28 Mac untuk menentukan hubungannya dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
28 Mac: Ketika PAU 2020, Zahid berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan Anwar, DAP dan Bersatu. PAU 2020 ditamatkan dengan memberi mandat kepada MKT Umno bagi memutuskan bila akan keluar dari kerajaan PN. Umno mendakwa tidak dapat bekerjasama dengan Bersatu lagi setelah PN mengkhianati Umno semasa Pilihan Raya Negeri Sabah pada 2020.
28 Mac: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mencadangkan agar Umno keluar dari PN pada Ogos selepas Darurat tamat pada 1 Ogos.
23 Jun: Nazri Aziz mengaku atur usaha kumpul surat akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Hishammuddin Hussein, bertujuan menolak Zahid dan Anwar.
23 Jun: Ismail Sabri berkata ahli Parlimen BN tidak akan sokong usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.
30 Jun: Muhyiddin dimasukkan ke hospital selama seminggu kerana mengalami cirit-birit.
7 Julai: Muhyiddin umum kenaikan pangkat dua menteri Umno. – 7 Julai, 2021.
Komen