AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said adalah suara terbaru daripada Umno yang mengkritik komposisi Kabinet Perikatan Nasional.
Menerusi Twitternya, bekas menteri Umno itu berkata Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak menggambarkan parti yang membentuk kerajaan.
“Kerajaan gabungan wajar berdasarkan perwakilan seimbang dan bukannya didominasi mana-mana parti, dan untuk menjadikan ia lebih sahih ia perlu mempunyai perjanjian bertulis antara parti politik yang terlibat,” tulisnya.
Kabinet yang diumumkan Muhyiddin pada Isnin lepas mempunyai 32 orang menteri (termasuk dirinya) dan 38 orang timbalan menteri.
Daripada jumlah menteri itu, Bersatu mempunyai 11 wakil termasuk perdana menteri, Umno (9), PAS (3), Gabungan Parti Sarawak (4) dan masing-masing seorang menteri daripada MIC, MCA dan Parti Bersatu Sabah. Dua lagi menteri adalah lantikan senator.
Dalam pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, Umno seringkali diberikan kementerian utama yang berpengaruh.
Dalam Kabinet Muhyiddin, parti Melayu itu diberikan jawatan portfolio pertahanan; Wilayah Persekutuan; tenaga dan sumber asli; pendidikan tinggi; kesihatan; hal ehwal luar; sains, teknologi dan inovasi; perpaduan nasional serta belia dan sukan.
Azalina yang pernah menjadi menteri ketika pentadbiran BN berkata, Umno sepatutnya diberikan kementerian yang lebih signifikan seperti wanita, dalam negeri, kewangan, pembangunan luar bandar serta pertanian dan industri asas tani.
Beliau bagaimanapun turut memuji Muhyiddin, menyifatkannya sebagai “politikus terbijak dalam kalangan pemimpin Melayu pada 2020” dan diakhiri dengan tanda pagar #KingMakerPN2020.
Ahli Parlimen itu yang sudah empat penggal pegang kuasa tidak menjadi pilihan dalam Kabinet Muhyiddin.
Pemimpin Umno lain juga turut sama mengecam komposisi Kabinet Muhyiddin.
Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor berkata kerajaan PN mengetepikan suara Orang Asli dalam Parlimen.
“Tengok sahaja berapa ramai daripada MCA dan Bersatu yang dilantik sebagai senator dan menteri. Nampaknya lantik wakil Orang Asli membebankan mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin juga mengecam Kabinet yang didakwanya tidak disertai wakil negeri Borneo itu.
Beliau juga mengecam Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang berkata tidak ada campur tangan politik dalam pelantikannya.
“Menteri kewangan baru dilantik dalam ucap tamanya menyatakan no political interference in his ministry, dia tak sedar pelantikannya atas move politik, kalau inilah pendirianya lebih baik dia buka kementeriannya sendiri,” tulisnya di Twitter. – 11 Mac, 2020.
Komen