6 tuntutan Umno kepada kerajaan Muhyiddin Yassin


MAJLIS Kerja Tertinggi Umno yang bermesyuarat pada hari ini, 12 Mac 2020 (Khamis) memutuskan perkara berikut:

Umno telah membuat penstrukturan semula parti yang melibatkan :-

i. Perlantikan Ahmad Maslan sebagai setiausaha agung Umno yang baru.

ii. Perlantikan saudara Shahril Suffian Hamdan sebagai ketua penerangan Umno yang baru.

iii. Perlantikan saudara Mohd Rais Mohd Yasin sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi yang baru.

Umno menyokong Muhyiddin Yassin sehingga terbentuknya kerajaan baharu pada 1 Mac 2020 yang lalu, semata- mata sebagai suatu tanggungjawab moral untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus terbelenggu dengan krisis politik, lantaran terbubarnya kerajaan Pakatan Harapan apabila Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada 21 Februari 2020.

Umno akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin Yassin sehingga PRU ke-15 berasaskan beberapa panduan berikut :-

i. Kerajaan baharu ini harus memastikan aspirasi rakyat benar- benar direalisasikan.

ii. Kerajaan baharu ini melaksanakan tanggungjawabnya dengan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira batasan kaum, agama, kenegerian dan darjat.

iii. Kerajaan baharu harus segera berusaha menangani kelembapan ekonomi semasa termasuklah melakarkan pelan tindakan berkesan menghadapi cabaran ekonomi global dan kesan wabak Covid-19.

iv. Kerajaan baharu tidak sewajarnya mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh kerajaan PH terdahulu dalam menguruskan isu- isu yang menyentuh sensitiviti hubungan kaum negara ini.

Demi memenuhi aspirasi rakyat dan memelihara kepentingan Agama dan Negara, beberapa tindakan segera harus diambil oleh kabinet baharu di bawah Muhyiddin Yassin termasuklah:-

i. Menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala tuduhan salahlaku dan penyelewengan PH terhadap kerajaan BN dan Pengurusan Tabung Haji terdahulu.

ii. Menilai semula semua keputusan penjualan secara lambak aset- aset strategik negara dan agensi-agensi berkepentingan rakyat termasuklah Tabung Haji, Khazanah Nasional, LTAT dan semua Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

iii. Demi memenuhi prinsip Rule of Law yang sebenar, Umno mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula, ini termasuklah kes skandal rasuah terowong dasar laut dan 3 lebuhraya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion.

iv. Menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan Kes Pembunuhan yang menyayat hati melibatkan anggota Bomba, Allahyarham Adib.

v. Membatalkan agenda kerajaan PH untuk menubuhkan IPCMC yang sengaja mahu mengongkong dan mengekang tugas dan tanggungjawab pihak Polis DiRaja Malaysia.

vi. Membekukan keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dasar pengurangan kakitangan awam dan mengkaji semula dasar yang memastikan kebajikan penjawat awam terbela.

Umno akan terus memainkan peranan secara proaktif sebagai agen semak dan imbang (check and balance) terhadap kerajaan baharu pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela.

Umno juga akan meneruskan agenda utama memperkasakan Muafakat Nasional dengan rakan-rakan PAS dan juga memperkukuhkan Barisan Nasional bersama rakan-rakan komponen MCA, MIC dan PBRS.

Umno terus komited untuk mempertahankan kerajaan baharu pimpinan Muhyiddin Yassin selama mana aspirasi rakyat dipelihara dan memastikan kestabilan politik dan ekonomi dapat dijaga sehingga PRU ke 15 akan datang.

Sekian, terima kasih. – 12 Mac, 2020.

 

* Ahmad Zahid Hamidi merupakan presiden Umno.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen