Nazri Aziz tarik sokongan terhadap Muhyiddin


Alfian Z.M. Tahir

Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz menarik sokongannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menjadikan kerusi Parlimen Perikatan Nasional menjadi 109. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 Januari, 2021.

AHLI Parlimen Padang Rengas, Nazri Aziz telah menarik sokongannya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, mengurangkan kerusi Parlimen kerajaan Parikatan Nasional kepada 109.

Dengan penarikan sokongan berkenaan, Muhyiddin kehilangan sokongan ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.

Penarikan sokongan itu dibuat selepas ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub juga menarik sokongan terhadap perdana menteri pada Ahad lalu. 

Ketua Umno Bahagian Padang Rengas membuat pengumuman itu pada sidang media hari ini di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Beliau juga berspekulasi bahawa perhimpunan agung Umno pada akhir bulan ini mungkin ditangguhkan susulan pengumuman darurat. 

Beliau berkata pengisytiharan darurat oleh Muhyiddin adalah pengakuan perdana menteri bahawa beliau sudah kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Pagi ini, selepas Yang di-Pertuan Agong perkenan permohonan darurat, Muhyiddin berkata pengisytiharan itu bertjuan untuk memberi kerajaan lebih banyak kuasa untuk memerangi wabak Covid-19.

“Parlimen akan ditangguhkan semasa darurat dan tidak akan ada pilihan raya kecil atau pilihan raya negeri serta nasional,” kata Muhyiddin ketika menyampaikan ucapannya hari ini.

Dalam keadaan darurat, kerajaan akan dapat menggubal undang-undang baharu dalam membantu memerangi wabak, katanya.

Muhyiddin bagaimanapun menafikan darurat itu merupakan usahanya merebut kuasa selepas hilang sokongan majoriti minggu ini.

“Darurat ini bukan rampasan kuasa tentera dan perintah berkurung tidak akan dilakukan.

“Kerajaan akan terus berfungsi seperti biasa,” katanya. – 12 Januari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen