Tiada kerjasama dengan Bersatu, PKR, DAP, tegas Zahid


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis Diyana Ibrahim Hailey Chung Wee Kye

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti tetap dengan pendirian bertanding sendirian dalam PRU15 dengan menggunakan lambang BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 28 Mac, 2021.

UMNO tidak berganjak daripada keputusan awal Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, PKR dan DAP untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Umno tetap dengan pendirian bertanding sendirian dalam PRU15 dengan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN), katanya.

“Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi… No Anwar, No DAP, No Bersatu. Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi. 

“Kita tetap akan bertanding menggunakan panji-panji BN,” katanya dalam ucapan dasar presiden membuka Perhimpunan Agung Umno 2020 di Kuala Lumpur, hari ini.

Jelas Zahid, kalau pun perlu ada perundingan dan kerjasama politik, Umno dan BN akan membuat percaturan itu selepas PRU15.

“Kalau ada hendak berunding pun bukan sekarang tetapi selepas PRU15. Setuju?” katanya kepada perwakilan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan yang mengikuti persidangan secara dalam talian di 190 bahagian di seluruh negara.

Zahid menegaskan Umno sedang di landasan yang betul dengan keputusannya ini.

“Yakinlah! Sesungguhnya cahaya terang-benderang sedang menanti kita di hujung terowong.

“Umno tidak akan menoleh ke belakang. Umno mesti kekal relevan. Umno mesti terus dominan, dan Umno terus mara,” katanya.

MKT Umno membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam mesyuaratnya pada 19 Februari lalu. Mesyuarat itu diadakan susulan keputusan majoriti bahagian Umno yang menolak kerjasama politik dengan parti serpihannya itu pada awal Februari.

Zahid mengingatkan ahli-ahli Umno bahawa parti itu mesti jadi dominan selepas PRU15.

Untuk jadi dominan, Umno mesti menang paling banyak kerusi dan seterusnya memastikan hanya parti yang ikhlas dan jujur yang bersama dengannya membentuk kerajaan baharu.

Kata Zahid, menjadi dominan bukanlah bermakna Umno sombong sebaliknya itulah kedudukan yang sesuai dengan sifat Umno sebagai parti politik utama di Malaysia.

“Dominan bukan bermaksud kita angkuh. Umno adalah parti terbesar bangsa Melayu. Umno adalah parti terbesar di negara ini. 

“Apabila Umno tidak menjadi tonggak kepimpinan negara ini, rakyat tidak lagi mengecapi kestabilan,” katanya, lalu memberi contoh pengalaman 22 bulan di bawah pentadbiran PH.

“Kita bukan ego. Kita bukan angkuh. Kita tidak naif. Kita bukan juga anak kecil yang boleh diperlakukan sembarangan,” tambahnya.

Menurut Zahid, politik harus ditentukan oleh rakyat dalam pilihan raya dan bukannya pemimpin yang melompat parti atau membuat percaturan selepas pilihan raya.

“Kita menolak pembelot dan pengkhianat. Kita tidak mahu makhluk perosak yang memusnahkan parti. Budaya lompat parti semakin menjadi-jadi. 

“Pengundi dan rakyat dikhianati. Jawatan dan ghanimah ditukar dengan maruah diri. Apakah budaya ini menjadi amalan yang akan diwarisi?

“Sedarlah, politik ini ditentukan oleh kluster rakyat. Bukan kluster gila kuasa, bukan kluster broker, bukan kluster oportunis atau kluster lompat pagar, bukan lompatun atau katakun,” katanya, merujuk kepada mereka yang melompat parti selepas PRU14.

Selepas PRU14, 15 ahli parlimen Umno keluar parti dan seterusnya menyertai Bersatu, sementara beberapa wakil rakyat di Perak, Johor dan Sabah juga berbuat demikian.

Umno sebelum ini menegaskan akan bertanding di semua kerusi asal yang dimenanginya dalam PRU14, dan isu itu menjadi antara duri dalam daging dalam hubungannya dengan Bersatu sejak bersama membentuk kerajaan sejak setahun lalu. β€“  28 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen